Pendekatan Whole-of-Nation perkukuh pembangunan sektor tenaga

6 Og 2026 - 6:47am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Landskap tenaga dunia mengalami perubahan yang pesat disebabkan beberapa faktor termasuk ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi, peralihan kepada tenaga rendah karbon serta peningkatan permintaan tenaga domestik.

Oleh itu, pembangunan sektor tenaga memerlukan pendekatan Whole-of-Nation yang menghimpunkan kepakaran, sumber dan komitmen semua pihak, bagi memastikan setiap dasar dan pelaburan saling melengkapi ke arah matlamat yang sama.

Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah semasa membahaskan Usul Penyelarasan Pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

"Jabatan sedang dan akan terus memperkukuh perancangan strategik jangka masa pendek, sederhana dan panjang sektor tenaga bagi memastikan pembangunan diusahakan secara lebih menyeluruh dan bersepadu, berorientasikan kepada hasil pelaksanaan.

"Tujuannya adalah bagi membentuk sektor tenaga yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampan, sebagai pemangkin kepada pencapaian aspirasi Wawasan Brunei 2035," ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, perancangan ini memberi tumpuan kepada empat matlamat strategik, iaitu mengekalkan daya tahan sektor huluan minyak dan gas; memperkukuh pembangunan industri hiliran bernilai tinggi; memastikan bekalan tenaga elektrik dan bahan api negara kekal selamat, mencukupi dan berdaya harap; serta mempercepat pembangunan tenaga rendah karbon sebagai sumber pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Yang Berhormat menjelaskan, kesemua matlamat strategik ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan sektor tenaga, bahkan menyokong agenda negara dalam memperkukuh keselamatan, meningkatkan daya saing ekonomi dan mewujudkan peluang baharu kepada rakyat.

Tambah Yang Berhormat, selaras dengan pendekatan Whole-of-Government yang telah dihuraikan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, kerajaan telah mewujudkan beberapa platform penyelarasan rentas kementerian dan industri bagi memperkukuh pelaksanaan strategik.

Menurut Yang Berhormat, antaranya ialah Jawatankuasa Pandu Pertumbuhan Huluan, yang berperanan mempercepat pelaksanaan pemboleh-pemboleh strategik bagi merangsang aktiviti penerokaan dan pembangunan sektor huluan minyak dan gas; dan Jawatankuasa Pandu Keselamatan dan Kecekapan Tenaga pula menyelaras pelaksanaan inisiatif dan projek strategik yang bertujuan memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan infrastruktur bekalan tenaga elektrik.

"Alhamdulillah, platform-platform ini telah membolehkan isu rentas agensi ditangani dengan lebih cepat dan bersepadu, sekali gus memperkukuh penyelarasan dasar serta pelaksanaan projek-projek strategik negara.

"Pendekatan ini yang akan terus diterapkan oleh pihak jabatan dalam memperkukuh peranan sektor tenaga dalam mendokong peranan-peranan penyelarasan, ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035," ujar Yang Berhormat.

Terdahulu, Yang Berhormat menjunjung kasih setinggi-tingginya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-80 tahun di mana baginda bertitah menzahirkan walaupun kedudukan bekalan tenaga Negara Brunei Darussalam berada dalam keadaan yang baik, negara tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran luaran yang boleh menjejaskan keterjaminan tenaga.

Menurut Yang Berhormat lagi, baginda juga menekankan mengenai tanggungjawab semua pihak untuk menggunakan sumber tenaga secara berhemah.

Titah baginda itu tambah Yang Berhormat, memberikan panduan yang jelas bahawa keterjaminan tenaga tidak boleh hanya bergantung kepada penyediaan bekalan semata-mata. Malah, ia memerlukan perancangan jangka panjang, dasar yang berpandangan jauh, tadbir urus yang kukuh, serta penyelarasan yang bersepadu agar sektor tenaga terus menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara.

Sehubungan itu jelas Yang Berhormat lagi, Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di JPM menjunjung setinggi-tingginya titah baginda dengan penuh ketaatan, perhatian dan komitmen dalam memperkukuh perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan strategik sektor tenaga negara.