Pendekatan senegara asas perancangan, pelaksanaan, penilaian dasar

4 Og 2026 - 9:49am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Dunia hari ini sedang berubah dengan amat pantas. Perkembangan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan, perubahan pasaran pekerjaan, ketidaktentuan ekonomi global, perubahan demografi, peningkatan kos sara hidup serta cabaran sosial yang semakin kompleks menuntut pendekatan pentadbiran yang lebih bersepadu, telus dan responsif. 

Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman menggariskan perkara itu semasa membahaskan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjelaskan cabaran-cabaran ini tidak lagi terhad kepada satu kementerian atau agensi. Isu pekerjaan, misalnya, berkait rapat dengan pendidikan, latihan kemahiran, kesihatan, pengangkutan, kesejahteraan mental, keadaan keluarga dan peluang ekonomi. 

Begitu juga kemiskinan yang melibatkan aspek pendidikan, kesihatan, perumahan, perlindungan sosial dan pembangunan komuniti, ujarnya. 

Sehubungan itu jelas Yang Berhormat, pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation perlu dijadikan asas kepada perancangan, pelaksanaan dan penilaian dasar.

Pendekatan ini tambahnya, hendaklah berpandukan data, berorientasikan hasil iaitu ‘outcome-based’, serta diperkukuh melalui kerjasama strategik merentas kementerian, agensi, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti. 

Di samping itu, pendekatan ini juga adalah selaras dengan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja yang mencerminkan semangat tanggungjawab bersama, permuafakatan dan amanah dalam memelihara kepentingan agama, raja dan negara. 

“Amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kaola akan dilaksanakan berasaskan prinsip penyelarasan, kerjasama strategik yang saling melengkapi. Peranan ini bukan untuk mengambil alih fungsi kementerian atau agensi, tetapi memperkukuh kesepaduan dasar, menyelaras keutamaan bersama, mengenal pasti jurang pelaksanaan, mempercepatkan penyelesaian isu rentas agensi dan memastikan setiap dasar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” terangnya. 

Sehubungan itu Yang Berhormat menambah, terdapat lima hala tuju utama yang akan menjadi fokus di mana kelima-lima hala tuju ini saling melengkapi dalam membina masyarakat yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sejahtera.