Pendekatan menyeluruh bendung penyalahgunaan dadah

5 Og 2026 - 8:44am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Isu penyalahgunaan dadah tidak dapat ditangani secara silo kerana selain daripada penguatkuasaan undang-undang ia memerlukan pencegahan awal yang bermula dari rumah. 

Keluarga merupakan asas yang membentuk sahsiah seseorang individu manakala institusi pengajian, tempat bekerja, pergaulan sosial dan komuniti memainkan peranan penting dalam membentuk nilai, tingkah laku serta daya tahan golongan belia daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah. 

Perkara itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas, mengenai usaha kerajaan dalam membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia serta memperkukuh pencegahan, pemulihan dan kesedaran masyarakat. 

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Majlis, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, di sini, menjelaskan perkembangan ancaman dadah pada masa ini juga semakin kompleks dengan perubahan modus operandi yang sentiasa berubah serta pengaruh media sosial yang memudahkan penyebaran maklumat dan normalisasi penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan belia. 

Justeru katanya, pendekatan pencegahan juga perlu berubah daripada hanya memberi penekanan kepada penyampaian maklumat mengenai bahaya dadah kepada pendekatan yang lebih berasaskan bukti dan mengambil faktor-faktor risiko mendorong seseorang belia untuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Dalam memastikan pencegahan penyalahgunaan terus relevan dan berkesan tambahnya, kerajaan sentiasa berpandukan kepada amalan berasaskan bukti ataupun ‘evidence-based’ practice selaras dengan International Standard On Drugs Use Prevention yang dibangunkan oleh United Nation Office on Drugs and Crime (UNODC) dan World Health Organization (WHO). 

Piawaian ini menekankan bahawa pencegahan yang berkesan tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata bahkan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berterusan dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. 

Antara pendekatan yang sedang diterokai ialah memperkenalkan intervensi yang lebih awal dengan memberi penekanan kepada pengukuhan institusi keluarga di samping memperkukuhkan kemahiran sosial dan emosi (‘social and emotional learning’) dalam kalangan pelajar bagi meningkatkan daya tahan mereka menghadapi tekanan pengaruh rakan sebaya dan cabaran kehidupan. 

Selain itu jelas Yang Berhormat, penglibatan belia sebagai rakan strategi dalam menyampaikan mesej pencegahan kepada rakan sebaya juga merupakan satu kaedah yang berkesan. Pendekatan ini diperkukuhkan melalui penggunaan platform digital dan media sosial yang lebih dekat dengan generasi muda. 

“Dalam merangka program pencegahan yang berkesan dan memberikan impak yang positif terhadap belia, penggunaan penyelidikan dan data analisis akan dipertingkatkan bagi memastikan program berkenaan adalah relevan, bersasar dan memberikan impak yang positif kepada pembangunan sosial dan keselamatan negara,” ujarnya. 

Di samping itu, usaha pencegahan juga akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, keluarga, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat, komuniti khususnya pemimpin akar umbi termasuk penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi mewujudkan persekitaran yang mampu melindungi belia daripada ancaman dadah. 

Melalui pendekatan Whole of Nation Approach ini terang Yang Berhormat lagi, ia bukan saja akan mengurangkan kadar penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, malah turut membendung gejala isu sosial lainnya yang kemudian boleh berkembang kepada isu yang lebih serius. 

Dari aspek pemulihan pula katanya, pendekatan yang sama juga iaitu penglibatan ‘multi-stakeholders’ adalah diperlukan. 

Walaupun rawatan dan pemulihan di institusi rawatan dan pemulihan merupakan asas yang penting dalam membantu individu bebas daripada penyalahgunaan dadah, hakikatnya kejayaan sebenar pemulihan tidak berakhir apabila seseorang itu meninggalkan institusi tersebut. 

Kejayaan pemulihan perlu diukur melalui keupayaan bekas penagih untuk mengekalkan pemulihan ataupun ‘sustain recovery’, membina semula kehidupan mereka, serta berjaya berintegrasi semula ke dalam masyarakat. 

Justeru, pendekatan pemulihan pada masa hadapan akan memberi penekanan yang lebih besar kepada sokongan penjagaan lanjutan ataupun ‘after care’, pengukuhan sistem sokongan keluarga dan komuniti, serta proses reintegrasi bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan dadah, ujar Yang Berhormat mengakhiri penjelasannya.