Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Ahli-ahli Dewan Majlis sebulat suara meluluskan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Ketika menyampaikan rumusan perbahasan bagi usul tersebut, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menekankan bahawa penyelarasan merupakan kunci utama bagi memastikan pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan, pekerjaan, jaminan makanan, tenaga, transformasi digital dan pembangunan modal insan bergerak secara bersepadu demi menghasilkan impak yang nyata kepada rakyat.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyatakan bahawa pelantikan Menteri-Menteri Penyelaras oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mencerminkan keperluan memperkukuh pendekatan Whole-of-Government dalam menangani isu merentas kementerian, dengan memastikan peneraju yang jelas, tindakan susulan yang tersusun, penyelesaian bersama serta penggunaan sumber yang optimum.
Seterusnya Yang Berhormat menekankan bahawa penyelarasan perlu berfokus kepada hasil dan impak, bukan sekadar pelaksanaan program atau penubuhan struktur, melalui penetapan sasaran yang jelas, akauntabiliti, petunjuk prestasi berasaskan hasil, mengenal pasti risiko awal, tindakan pembetulan serta pengurusan sumber yang berkesan.
Yang Berhormat merumuskan beberapa bidang utama hasil perbahasan, termasuk menangani pengangguran melalui penyelarasan pendidikan, latihan dan keperluan industri; memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran; memperkukuh jaminan tenaga dan makanan; mempercepatkan transformasi digital berasaskan data; serta memperkukuh ekosistem perniagaan dan sokongan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Pencapaian Wawasan Brunei 2035 jelas Yang Berhormat lagi memerlukan pendekatan Whole-of-Nation yang melibatkan kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan penyelidikan, badan profesional, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat dan penduduk, di samping komunikasi yang jelas, telus dan konsisten melalui mekanisme pemantauan seperti ‘dashboard’.
Lima mesej utama yang dirumuskan daripada perbahasan ialah memperkukuh pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, memastikan setiap usaha mempunyai peneraju dan hala tuju yang jelas, menilai prestasi berdasarkan hasil yang memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation serta memastikan kemajuan dipantau, dinilai dan dikomunikasikan secara berterusan bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.