Pendekatan bersepadu tangani kemiskinan terus diperkukuh

9 Og 2026 - 9:42am

Oleh : Muhammad Aiman Najib HamzahFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Kerajaan terus memperkukuh pendekatan bersepadu dalam menangani isu kemiskinan dan kerentanan sosial melalui penyelarasan dasar pelan tindakan serta intervensi antara kementerian dan agensi berkepentingan.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md. Yusof pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat berkata, kemiskinan merupakan cabaran multidimensi yang tidak dapat ditangani oleh satu kementerian atau agensi sahaja.

Menurut Yang Berhormat lagi, punca kemiskinan bukan hanya berkaitan dengan pendapatan, malah turut dipengaruhi oleh aspek pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan, institusi keluarga dan sokongan sosial.

“Sehubungan itu, pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation diperlukan bagi memastikan dasar, pelan tindakan dan intervensi dilaksanakan secara bersepadu serta saling melengkapi.

“Kluster dasar-dasar sosial dan tenaga manusia dirangka berasaskan dua objektif utama iaitu mengurangkan kerentanan sosial serta memperkukuh sara diri dan mobiliti sosial, di samping meningkatkan penyertaan tenaga kerja, kebolehpasaran dan produktiviti negara,” jelas Yang Berhormat.

Kongsi Yang Berhormat, beberapa sesi penyelarasan juga telah diadakan antara kementerian-kementerian berkepentingan bagi mengenal pasti isu rentas agensi, jurang pelaksanaan serta ruang penambahbaikan dalam menangani kemiskinan dan kerentanan sosial.

Dari aspek penyejajaran dasar tambah Yang Berhormat, Social Blueprint menjadi kerangka strategik yang menyatukan pelbagai dasar, pelan tindakan dan inisiatif sosial berteraskan tiga fokus utama, iaitu memastikan keperluan asas rakyat dan penduduk dipenuhi, menjamin kesejahteraan dan keselamatan serta membangunkan masyarakat yang berdaya tahan.

Dalam hubungan itu, pelan tindakan kementerian dan agensi, termasuk Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan, diselaraskan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber, mengelakkan pertindihan serta memastikan sumbangan kepada hasil yang sama tekan Yang Berhormat.

“Majlis Kebangsaan Isu Sosial dan Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan pula berperanan sebagai platform penyelarasan, pemantauan dan penilaian keberkesanan intervensi di peringkat kebangsaan.

“Sementara itu, dari aspek pemetaan kebajikan, Sistem Kebajikan Negara berfungsi sebagai platform berpusat bagi pengurusan permohonan dan penerima bantuan kebajikan yang digunakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Pendidikan serta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan data yang dikumpulkan melalui sistem berkenaan dianalisis bagi menghasilkan gambaran mengenai profil sosioekonomi penerima, corak keperluan, liputan bantuan serta jurang intervensi.

Analisis tersebut membantu kementerian dan agensi mengenal pasti pertindihan bantuan, merancang intervensi yang lebih bersasar serta menghubungkan penerima dengan bantuan kebajikan, peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan program pemerkasaan ekonomi.

“Pada masa yang sama, penghulu mukim dan ketua kampung terus diperkasakan sebagai barisan hadapan dalam mengenal pasti golongan yang memerlukan, mengesahkan keadaan sebenar isi rumah dan memudah cara penyaluran bantuan” ujar Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat, peranan berkenaan turut diperkukuh melalui Program Merakit Masyarakat dan Kursus Sistem Kebajikan Negara bagi meningkatkan kefahaman, kemahiran serta kecekapan penghulu mukim dan ketua kampung dalam menguruskan isu kebajikan dan permohonan bantuan secara digital.

Dalam usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, beberapa penambahbaikan juga sedang dilaksanakan terhadap Sistem Kebajikan Negara, termasuk pendigitalan aliran kerja, pengesahan penghulu mukim dan ketua kampung, semakan kelayakan awal, penyediaan akses kepada maklumat bantuan yang lebih jelas serta pemberitahuan automatik dan penambahbaikan pengurusan rekod serta permohonan terang Yang Berhormat lagi.

“Penggunaan kecerdasan buatan juga sedang diterokai bagi membantu analisis data dan penyediaan laporan dengan lebih cepat dan berkesan, tertakluk kepada keperluan tadbir urus serta perlindungan data,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat menegaskan bahawa keseluruhan pembaharuan berkenaan memberi penekanan kepada peralihan daripada pendekatan pemberian bantuan kewangan semata-mata kepada pendekatan pemerkasaan yang lebih bersasar dan transformatif.

Menurut Yang Berhormat lagi, matlamat kerajaan bukan sekadar mengelakkan pertindihan program dan bantuan, tetapi memastikan setiap kementerian dan agensi melaksanakan mandat masing-masing secara saling melengkapi, berfokus dan berorientasikan hasil.

Pendekatan tersebut diharap dapat memastikan keperluan asas rakyat terus dipenuhi, kesejahteraan dan keselamatan terjamin serta masyarakat yang lebih berdaya tahan dapat dibangunkan, selaras dengan aspirasi Social Blueprint dan Wawasan Brunei 2035, jelas Yang Berhormat.