Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Sabtu, 24 Oktober. - Sukan Belia Olimpik merupakan temasya sukan antarabangsa untuk atlet muda berumur 15 hingga 18 tahun yang menghimpunkan bakat-bakat pelapis terbaik dari seluruh dunia.
Edisi keempat yang akan berlangsung di Dakar, Senegal ini amat istimewa dan bersejarah kerana ia melakar lembaran baharu sebagai temasya Sukan Olimpik pertama yang dianjurkan di benua Afrika.
Lebih membanggakan lagi, temasya kali ini turut menyaksikan sukan wusyu dipertandingkan buat julung kalinya di pentas Olimpik.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormаt Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyembahkan mengenai perkara itu dalam sembah alu-aluan semasa Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Kejohanan Sukan Belia Olimpik Ke-4 (4th Youth Olympic Games 2026), Dakar, Senegal yang diadakan di Bilik Hijau Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah perkenan baginda bagi penyertaan kontinjen negara ke temasya berprestij ini.
Mengimbas kembali, Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai Sukan Belia Olimpik sejak edisi pengenalannya di Republik Singapura pada tahun 2010, diikuti dengan penyertaan dalam edisi-edisi seterusnya di Nanjing dan Buenos Aires.
Penyertaan berterusan ini sembah Yang Berhormat, membuktikan komitmen negara dalam menyediakan pentas untuk atlet-atlet pelapis kita menimba pendedahan dan pengalaman antarabangsa.
Pada edisi di Dakar ini, NBD diwakili oleh tiga orang atlet muda berbakat dalam acara Olahraga, Wusyu, dan Renang.
“Walaupun kontinjen kita kecil, para atlet membawa semangat juang yang tinggi yang mencerminkan kesungguhan negara melahirkan atlet pelapis yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” sembah Yang Berhormat lagi.
Dalam sembahnya juga, Yang Berhormat menggariskan, para atlet belia yang terpilih bertanding di pentas Olimpik Belia memerlukan kekuatan fizikal, ketahanan mental dan disiplin yang tinggi.
Justeru, melangkahlah dengan penuh keyakinan dan tekad untuk memberikan prestasi terbaik bagi meraih kejayaan yang dapat membanggakan dan mengharumkan nama negara serta sentiasa menjaga akhlak dan semangat kesukanan yang tinggi.
“Kepada Chef de Mission, para jurulatih dan pegawai pengiring, peranan biskita amat penting. Pastikan kebajikan, keselamatan, serta sokongan moral sentiasa diberikan secukupnya kepada atlet-atlet muda kita sepanjang mereka berada di Senegal nanti.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga kontinjen negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dipermudahkan urusan, selamat pergi dan balik, serta beroleh kejayaan yang cemerlang,” sembah Yang Berhormat.
Sebelum mengakhiri sembah alu-aluannya, Yang Berhormat sekali lagi menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke majlis berkenaan.