Pencari kerja perlu diberikan penilaian kemahiran, bimbingan, laluan

4 Og 2026 - 8:24am

Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji KamisFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Dalam memperkukuh pekerjaan, semua program berkaitan pendidikan, latihan, penempatan kerja dan pembangunan industri perlu diselaraskan di bawah satu hasil nasional.

Kejayaan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah peluang pekerjaan atau peserta latihan, tetapi berdasarkan pekerjaan yang benar-benar diisi, kesesuaian kemahiran, tahap pendapatan dan tempoh seseorang kekal bekerja.

Institusi pendidikan, penyedia latihan, agensi pekerjaan dan pihak industri perlu bersama-sama mengenal pasti sektor yang berkembang serta jenis kemahiran yang diperlukan. Program latihan hendaklah berasaskan permintaan sebenar dan, jika sesuai, disertakan dengan komitmen penempatan kerja daripada pihak industri.

Demikian antara yang diujarkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Dengan cara ini, tambah Yang Berhormat, kita dapat mengurangkan ketidakpadanan antara kelayakan pencari kerja dengan keperluan majikan. Pencari kerja perlu diberikan penilaian kemahiran, bimbingan kerjaya dan laluan penempatan yang bersesuaian. Pada masa yang sama, majikan perlu menyediakan maklumat yang jelas mengenai kemahiran, pengalaman dan tahap gaji yang diperlukan.

“KPI hendaklah mengukur jumlah pekerjaan berkualiti yang diwujudkan, kadar penempatan kerja, kesesuaian pekerjaan dengan kemahiran serta kadar pekerja kekal selepas enam bulan atau satu tahun.

“Namun, pewujudan pekerjaan sahaja tidak mencukupi jika pekerjaan tersebut tidak menawarkan pendapatan yang munasabah, laluan kemajuan kerjaya dan kestabilan. Oleh itu, insentif pekerjaan dan latihan hendaklah menggalakkan majikan menyediakan latihan di tempat kerja, peningkatan kemahiran dan laluan kemajuan kerjaya.

“KPI perlu merangkumi peningkatan gaji, produktiviti pekerja, kenaikan pangkat dan kadar pengekalan pekerja bukan hanya bilangan individu yang mula bekerja. Semua pihak hendaklah menggunakan data serta KPI bersama untuk merancang tenaga kerja dan menilai hasil pelaksanaan,” ujar Yang Berhormat.

Dengan penyelarasan seluruh jentera kerajaan dan kerjasama industri, jelas Yang Berhormat, dasar pekerjaan dapat beralih daripada mengukur aktiviti kepada menghasilkan pekerjaan yang berkualiti, produktif dan berkekalan.