Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah selesai dilaksanakan dengan selamat dan sempurna selama enam hari dan berjaya menyelesaikan empat perbahasan usul, 220 pertanyaan kepada menteri-menteri dan tiga kenyataan menteri.
Sepanjang Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN pada tahun ini pula, majlis telah meneliti dan meluluskan urusan utama termasuk belanjawan negara, rang undang-undang serta meneliti isu-isu semasa berkaitan pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan kesihatan dan lain-lain yang telah dibangkitkan dalam pertanyaan.
Turut dibincangkan ialah usul-usul yang berkaitan dengan langkah mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 serta perbincangan mengenai penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-ahli MMN. Setiap perbahasan telah memperkayakan persidangan ini dan menyumbang ke arah pemikiran yang lebih matang serta menyeluruh bagi negara.
Demikian antara yang diujarkan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib semasa menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
"Saya juga ingin menzahirkan rasa sukacita atas pencapaian penyertaan rasmi MMN sebagai ahli kepada Inter-Parliamentary Union (IPU) berikutan resolusi majlis ini dan sejak itu, majlis telah mengambil bahagian dalam dua Perhimpunan Agung IPU - satu langkah yang memperkukuhkan diplomasi parlimen negara dan membuka ruang pembelajaran daripada amalan terbaik antarabangsa.
"Perancangan juga sedang dilaksanakan bagi penyertaan majlis sebagai pemerhati kepada Commonwealth Parliamentary Association (CPA). Sesungguhnya kehadiran dalam peringkat antarabangsa ini merupakan satu peringatan akan kepentingan majlis untuk sentiasa peka dan responsif kepada perkembangan antarabangsa, yang akan membantu dalam memastikan perkara-perkara yang dibincangkan di dalam dewan, kekal relevan dan berdaya tahan," ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.
Secara amnya, Yang Berhormat amat menghargai perbincangan sepanjang tahun ini dan berharap agar segala pandangan yang telah dikemukakan dalam dewan ini akan terus menjadi dorongan bagi memperkukuh penyelarasan dan kerjasama, agar usaha kita bergerak seiring dalam satu arah yang sama.
Terdahulu dalam ucapan penangguhan, Yang Berhormat ingin mengambil kesempatan untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddien Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN pada tahun ini.
Di mana, titah baginda itu amat bijaksana dan penuh dengan pandangan yang jauh serta panduan yang jelas, yang telah memberikan panduan arah dan dorongan kepada kita semua dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sepanjang musim permesyuaratan ini.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat di atas penyertaan, komitmen, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang musim permesyuaratan tahun ini.
"Ucapan setinggi - tinggi penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan khusus kepada Jurutulis MMN, Pemangku Timbalan dan Penolong Jurutulis, Bentara-bentara Dewan, serta semua pegawai dan kakitangan yang telah terlibat, termasuk mereka yang ditugaskan daripada kementerian, jabatan dan agensi-agensi yang berkenaan, atas usaha gigih dan komitmen tinggi yang dicurahkan dalam menyediakan pelbagai keperluan yang membolehkan kita menyelesaikan segala urusan mesyuarat dengan lancar dan teratur," ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.