Oleh : Fathi Foad Abu Bakar
Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Beberapa projek pengubahsuaian dan penaiktarafan telah dan sedang dilaksanakan secara berperingkat di fasiliti-fasiliti kesihatan, iaitu projek-projek yang telah sempurna dilaksanakan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam tahun 2025 adalah seperti, menaik taraf Wad 15 dan Klinik Ortopedik.
Perkara tersebut digariskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab pertanyaan bagi jawab lisan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Manakala, projek-projek yang sedang dilaksanakan dan dalam rancangan adalah seperti penubuhan Pulmonary Function Test (PFT) di dalam Perubatan Respiratori (DORM), menaik taraf Wad 10 dan 11 untuk menjadi Intensive Care Unit (ICU) baharu, pembinaan bilik konsultasi untuk tahanan di kawasan Jabatan Kecemasan, dan pengubahsuaian untuk Uroflow dan Urodynamic di Klinik Urologi.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan mengenai dengan menaik taraf tiga Bilik Bedah (OT) - OT 3, 4 dan 5, pengubahsuaian dan pemindahan Unit Kewangan dan Perolehan di Bangunan Loji Kejuruteraan dan Dobi, Pengubahsuaian Point of Care Testing (POCT) dan Quality Assurance & Patient Safety Unit di Central State Lab, meluaskan Farmasi Pesakit Luar ke Rekod Perubatan, dan mengembangkan kawasan Triage di Jabatan Kecemasan.
Di samping itu juga kata Yang Berhormat, pengubahsuaian sebuah banglo di Kiarong untuk digunakan sebagai Klinik Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja (CAMHS), pembinaan banglo baharu untuk bilik konsultasi di CDC Kampung Kiarong.
"Selain itu, di bawah RKN12, beberapa projek akan dilaksanakan seperti projek pembinaan Blok Baharu Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang akan mempunyai 500 katil tambahan kini dalam proses penyediaan dokumen tender oleh firma perunding yang dilantik setelah Conceptual Design diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif Kementerian Kesihatan.
"Projek pembinaan Pusat Kesihatan Mengkubau termasuk perkhidmatan pergigian dengan kos belanja BND15 juta berada dalam fasa reka bentuk (design phase) bersama firma perunding yang telah dilantik.
"Seterusnya, projek pembinaan Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan dan Pusat Pengambilan Darah yang berjumlah BND28 juta dan projek pembinaan Blok Baharu Makmal Rujukan dengan kos belanja BND35 juta, yang merangkumi pembinaan Makmal Rujukan Saintifik dan Makmal Rujukan Kebangsaan," ujar Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan selain itu, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, tempat pengambilan darah yang lebih mesra warga emas dan pengguna berkerusi roda, penaiktarafan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, pengubahsuaian ruang Klinik Perkhidmatan Pergigian, dan pengubahsuaian bekas Wad TB bagi menempatkan Klinik Otorhinolaryngology (ORL), Klinik Audiologi, Klinik Podiatri dan Klinik Terapi Pertuturan (Speech and Language Therapy) serta penaiktarafan tandas awam.
Di samping itu kata Yang Berhormat, di hospital tersebut juga mempunyai perancangan untuk menjadikan bangunan (Extension) Pusat Pengasingan Kebangsaan (NICe) sebagai Pusat Rehabilitasi atau Step-Down Hospital.
Cadangan penempatan Pusat Pergigian Negara (National Dental Centre) tambah Yang Berhormat lagi, kini sedang dalam penelitian bagi memastikan kesesuaian lokasi, skop perkhidmatan serta keperluannya dan penambahan fasiliti klinik-klinik pergigian di seluruh negara juga sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan aksesibiliti kepada perkhidmatan pergigian dan mengurangkan kesesakan di klinik-klinik sedia ada. Usaha-usaha ini adalah bertujuan untuk memastikan semua fasiliti kerajaan sentiasa berada dalam keadaan selamat, berfungsi dengan baik dan kondusif.
Yang Berhormat juga mengongsikan, di samping projek–projek pengubahsuaian dan penaiktarafan, beberapa projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN12) juga sedang dilaksanakan seperti Projek Pembinaan Blok Baharu Jabatan Kecemasan, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait. Projek ini dijangka siap pada bulan Oktober 2026 dan akan meningkatkan kapasiti serta keupayaan hospital berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan yang lebih cekap dan selamat serta akan memperkukuh kesiapsiagaan hospital dalam mengendalikan peningkatan jumlah pesakit, kes-kes kritikal serta insiden kecemasan dan bencana. Juga, Projek pembinaan Blok Pembedahan Baharu dan Blok Pusat Rehabilitasi Dewasa dan Kanak-Kanak di Hospital Suri Seri Begawan.
Projek-projek ini kata Yang Berhormat bertujuan untuk memperkasa dan memperluaskan kapasiti perkhidmatan klinikal, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bagi rakyat dan penduduk yang semakin berkembang.
Yang Berhormat juga menerangkan, walaupun terdapat cabaran berkaitan pembekalan rantaian bekalan global, tempoh penghantaran serta proses perolehan bagi sesetengah peralatan dan bahan guna habis, Kementerian Kesihatan terus mengambil langkah-langkah mitigasi dan pemantauan secara berterusan bagi mengurangkan gangguan terhadap penyampaian perkhidmatan serta memastikan keperluan klinikal pesakit sentiasa dapat dipenuhi.
Di antara usaha-usaha yang dilaksanakan tambah Yang Berhormat adalah pembaikan dan penyelenggaraan peralatan perubatan (preventive and corrective maintenance of medical equipment) bagi memastikan peralatan sentiasa berada dalam keadaan berfungsi dengan baik. Perolehan peralatan perubatan dan kerusi-kerusi pergigian secara berterusan dan berfasa setiap tahun bagi menambah jumlah peralatan mengikut keutamaan dan menggantikan peralatan perubatan lama yang telah mencapai had umur.
"Perolehan bekalan bahan guna habis perubatan (medical consumables) yang dilaksanakan melalui tawaran berkontrak bagi memastikan pembekalan yang konsisten dan tidak terputus, di samping memperoleh harga yang kompetitif dan berpatutan melalui kontrak jangka panjang.
"Pada masa yang sama, satu sistem inventori secara dalam talian juga sedang dibangunkan bagi membolehkan pemantauan stok dilaksanakan secara masa nyata (real-time), meramalkan trend penggunaan, mengenal pasti keperluan lebih awal serta membolehkan proses perolehan dimulakan sebelum paras stok mencapai tahap kritikal.
"Kementerian Kesihatan terus memberi perhatian terhadap pengubahsuaian dan penaiktarafan fasiliti-fasiliti kesihatan termasuk penyediaan dan penggantian peralatan perubatan serta bekalan bahan guna habis bagi memenuhi keperluan kesihatan yang semakin berkembang," ujar Yang Berhormat lagi.