Oleh : Khartini Hamir
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Julai. - Pementasan Permata Seni berjaya mencuri perhatian ramai pengunjung dengan menyajikan pelbagai persembahan menarik mereka di Pentas Perayaan di ibu negara, sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun.
Ahli Kumpulan Permata Seni adalah gabungan artis, penyanyi, pelakon, penari, penyair, pemuisi dan pesilat yang terdiri daripada kalangan anak-anak remaja dan dewasa di Daerah Brunei dan Muara, yang sering mengadakan persembahan dan pementasan kebudayaan, tarian tradisional, nyanyian, teater dan muzikal.
Persembahan malam tadi yang bertemakan ‘Malam Irama Joget Permata Seni’ menampilkan pelbagai nyanyian, zapin, joget, tarian dan antara yang ikut serta menyerlahkan bakat nyanyiannya ialah finalis Bintang Kecil, Aryan Raycarl, yang berusia 11 tahun, nyanyian suara emas dari Wan Zikri serta persembahan sketsa komedi 'Siapa Basar' gabungan pelakon veteran Hajah Halimah (dikenali sebagai Mama Lina) dengan Kumpulan Permata Seni.
Selain menyemarakkan lagi sambutan perayaan, Kumpulan Permata Seni juga terkenal sebagai platform penggilap bakat seni muda yang memberikan peluang kepada para belia untuk menampilkan bakat serta menyerlahkan potensi diri dalam bidang seni kebudayaan, tarian, sketsa dan sebagainya.
Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan persembahan tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok dan Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh selaku Pengerusi Sementara Majlis Perundingan Mukim Kianggeh.