Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. – Isu Air Tidak Terhasil atau Non-Revenue Water (NRW) serta kestabilan bekalan air merupakan keutamaan tertinggi Kementerian Pembangunan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR).
NRW bukan sahaja melibatkan kehilangan hasil, malah ia membazirkan sumber air terawat dan meningkatkan kos operasi.
Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menjawap soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, juga Penghulu Mukim Bukit Sawat mengenai strategi dan pelan tindakan kementerian untuk mengurangkan kadar NRW di samping memastikan bekalan air yang lebih stabil, berterusan dan berkualiti kepada pengguna di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sebagai strategi utama jelas Yang Berhormat lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan Projek Pengurusan NRW Fasa 3 pada 2 September 2025 dan dijadualkan siap pada 1 September 2029.
Menurut Yang Berhormat, projek ini adalah kesinambungan kejayaan Fasa 2, di mana kadar NRW berjaya diturunkan secara signifikan daripada 45 peratus pada tahun 2020 kepada 32 peratus pada tahun 2022 di kawasan perintis projek ini seperti Lambak Kanan, Tungku, Kilanas, Dadap, dan Gadong.
Dalam menguruskan isu NRW ini kata Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan mengguna pakai empat pendekatan strategik, iaitu pertama, menerusi Projek NRW Fasa 3, fokus utama diberikan khusus kepada pembinaan infrastruktur rangkaian pintar, iaitu membentuk Zon Kawalan Tekanan (District Metered Areas - DMA) bagi mengumpul dan mengawal aliran air secara ‘real-time’.
"Kedua, kerja-kerja penggantian paip usang dilaksanakan menerusi program peruntukan Jabatan dan Rancangan Kemajuan Negara mengikut keutamaan (hotspots). Ketiga, pengesanan kebocoran bawah tanah dilaksanakan menggunakan teknologi penderia akustik digital (acoustic sensors) untuk mengesan kebocoran tersembunyi.
"Keempat, penukaran meter air lama dijalankan menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga dan Air Pintar Kebangsaan (USMS) bagi memastikan ketepatan bacaan dan mengelakkan kehilangan air yang tidak dapat diakaunkan," ujarnya pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Sehubungan itu ujar Yang Berhormat, Jabatan Perkhidmatan Air juga giat melaksanakan kerja-kerja penyelanggaraan di Loji Rawatan Air dan pembinaan rumah pam ‘booster’ untuk memastikan tekanan air mencukupi bagi seluruh negara termasuk kawasan di luar bandar dan pendalaman.