Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan terus diberi perhatian dalam penyelarasan dasar ekonomi berikutan potensinya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara dan penyedia peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, majoriti PMKS dimiliki oleh rakyat tempatan termasuk golongan belia dan wanita yang aktif menjalankan aktiviti ekonomi, termasuk perusahaan berskala kecil dari rumah.
Menurutnya, perkembangan sektor tersebut mampu membantu menangani isu pengangguran di samping memperkukuhkan ekosistem perusahaan tempatan.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri berkata, kejayaan penyelarasan dasar memerlukan sokongan menyeluruh yang merangkumi penggubalan dan pengemaskinian akta serta peraturan, penyediaan instrumen perundangan dalam tempoh munasabah, penggunaan instrumen ekonomi dan fiskal yang bersesuaian serta penyampaian perkhidmatan awam yang cekap melalui pemerkasaan kapasiti sumber manusia.
Yang Berhormat menegaskan bahawa kejayaan usaha tersebut tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, malah memerlukan komitmen sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan semua pihak berkepentingan.
“Setiap pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing secara proaktif, saling melengkapi dan bergerak secara bersepadu dalam menangani cabaran yang dikenal pasti,” ujarnya.
Mengakhiri ucapan, Yang Berhormat menyeru semua pihak agar terus menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan menterjemahkan segala dasar, perancangan dan komitmen kepada tindakan yang nyata serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Yang Berhormat berharap segala usaha yang dirancang akan sentiasa mendapat taufik, hidayah dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala serta menjadi pemangkin kepada pencapaian aspirasi Wawasan Brunei 2035.