Pembangunan modal insan memacu pertumbuhan ekonomi negara

4 Og 2026 - 9:14am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Dalam membahaskan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2026, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman menyentuh tentang hala tuju ketiga iaitu membangunkan saluran bakat negara yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan. 

Jelas Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi, dalam dunia yang dipacu oleh teknologi, inovasi dan Kecerdasan Buatan, kelebihan sesebuah negara bergantung kepada keupayaan rakyatnya untuk berfikir, berinovasi dan mencipta nilai. 

Sehubungan itu terangnya, pembelajaran sepanjang hayat hendaklah dibudayakan dalam kalangan masyarakat supaya ilmu dan kemahiran yang diperoleh akan terus relevan, adaptif dan berdaya saing selaras dengan perubahan keperluan ekonomi. 

Pada masa yang sama tambahnya, hubungan antara sistem pendidikan, institusi latihan teknikal dan vokasional, institusi pengajian tinggi serta industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan bakat benar-benar memenuhi keperluan negara dan kehendak pasaran pekerjaan. 

Kurikulum, latihan dan program pembangunan modal insan juga hendaklah sentiasa responsif terhadap perkembangan ekonomi digital, Kecerdasan Buatan, keselamatan siber, ekonomi hijau, ekonomi penjagaan, industri kreatif serta bidang-bidang baharu yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara, ujarnya. 

Menyentuh mengenai hala tuju keempat iaitu memperkukuh peranan komuniti dan pemimpin akar umbi sebagai rakan strategik kerajaan dalam pelaksanaan dasar sosial dan pembangunan tenaga manusia. 

Yang Berhormat menggariskan, kejayaan sebuah dasar tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata, tetapi juga kepada sejauh mana masyarakat turut mengambil bahagian dan memikul tanggungjawab bersama. 

Dalam konteks ini terangnya, penghulu mukim dan ketua kampung memainkan peranan yang amat penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat. 

Dengan pemahaman yang mendalam terhadap keadaan dan keperluan masyarakat setempat, mereka berupaya mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan, belia yang memerlukan bimbingan, warga emas yang memerlukan perhatian serta potensi ekonomi yang boleh dibangunkan di peringkat komuniti. 

Sehubungan itu, mereka terus diperkasakan melalui latihan, akses kepada maklumat dan data yang relevan, mekanisme rujukan yang jelas, serta saluran komunikasi dan penyelarasan yang lebih berkesan dengan kementerian dan agensi kerajaan. 

Pendekatan ini terang Yang Berhormat, akan memperkukuh penyampaian dasar di peringkat akar umbi, meningkatkan keberkesanan intervensi, serta memastikan bantuan dan peluang pembangunan dapat disalurkan secara lebih tepat, responsif dan inklusif. 

Manakala, hala tuju kelima menekankan keperluan memperkukuh tadbir urus dasar melalui penggunaan data strategik, pengukuran keberhasilan, pemantauan yang berterusan serta akauntabiliti yang jelas. 

Dalam era digital, data merupakan aset penting negara yang membolehkan membuat keputusan dibuat secara lebih tepat, responsif dan berpandangan jauh. 

Oleh itu jelas Yang Berhormat, setiap dasar hendaklah dirangka berasaskan bukti, disokong oleh analisis yang menyeluruh serta penilaian yang objektif. 

Keperluan terhadap tadbir urus yang kukuh menjadi semakin mendesak apabila negara berdepan dengan kejutan geopolitik, tekanan ekonomi dan cabaran alam sekitar, termasuk gangguan rantaian bekalan yang semakin kompleks. 

Sehubungan itu terangnya, pendekatan pentadbiran perlu beralih daripada bersifat reaktif kepada lebih proaktif melalui perancangan senario (‘scenario planning’), penilaian risiko secara berkala, pemantauan petunjuk amaran awal (‘early warning indicators’) serta penambahbaikan dasar secara berterusan berdasarkan data dan penilaian prestasi. 

“Pendekatan ini akan meningkatkan daya tahan institusi, memperkukuh keupayaan kerajaan dalam membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat, serta memastikan dasar sentiasa kekal relevan dan berkesan dalam menghadapi perubahan persekitaran yang lebih dinamik,” ujar Yang Berhormat lagi. 

Kelima-lima hala tuju yang telah digariskan ini katanya, saling berkait dan saling memperkukuh. 

Pembangunan tenaga manusia memerlukan pendidikan yang relevan dan boleh diakses oleh semua; pendidikan yang berkualiti membuka peluang pekerjaan yang lebih baik; pekerjaan yang berkualiti memperkukuh kesejahteraan individu dan keluarga; manakala keluarga yang sejahtera membentuk komuniti yang berdaya tahan. 

“Pada hemat kaola, kejayaan Wawasan Brunei 2035 tidak hanya diukur melalui statistik atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi ia akan benar-benar tercapai apabila lebih ramai anak tempatan memperoleh pekerjaan yang berkualiti, lebih ramai belia mempunyai keyakinan terhadap masa depan, lebih banyak keluarga menikmati kehidupan yang stabil dan sejahtera, warga emas terus dihargai dan dipelihara, serta setiap lapisan masyarakat merasai manfaat pembangunan negara secara adil dan inklusif,” ujar Yang Berhormat. 

Dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala serta berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat yakin sepenuhnya bahawa melalui penyelarasan yang lebih kukuh, tadbir urus yang lebih berkesan, kerjasama yang lebih erat dan komitmen berterusan daripada seluruh jentera kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat dan rakyat, insyaaAllah kita akan dapat merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035 demi kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang.

Untuk akhirnya, Yang Berhormat sekali lagi menyatakan sokongan penuh terhadap Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 dan menyeru agar semua usaha memperkukuh penyelarasan ini terus diperkasakan sebagai satu agenda nasional demi memperkukuh daya tahan negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjamin masa depan Negara Brunei Darussalam yang aman, makmur dan diberkati, berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.