Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pembangunan institusi, pemerkasaan bakat tempatan dan penyampaian maklumat yang berkesan merupakan antara elemen penting bagi menyokong pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata, pembangunan institusi dan pembinaan kapasiti perlu dirancang secara bersepadu kerana ia memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta inovasi.
Menurut Yang Berhormat dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih dinamik, inovatif, mesra pelanggan dan mesra perniagaan melalui pengukuhan akauntabiliti, integriti serta tadbir urus.
Yang Berhormat berkata kecekapan dan ketelusan Perkhidmatan Awam turut mempengaruhi keyakinan pelabur tempatan dan asing untuk melabur di negara ini.
Selain itu, Yang Berhormat mencadangkan supaya program mengenal pasti dan membangunkan bakat tempatan diperluaskan melibatkan sektor awam, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta sebagai satu pendekatan senegara bagi melahirkan tenaga kerja berprestasi tinggi.
Menyentuh mengenai penyelarasan maklumat, Yang Berhormat menegaskan media yang berwibawa memainkan peranan strategik dalam membentuk imej positif negara serta meningkatkan keyakinan rakyat, pelabur dan pelancong.
Tambahnya, penyampaian maklumat yang tepat, cepat dan sahih akan memberikan isyarat positif kepada pelabur mengenai hala tuju pembangunan negara, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Perayaan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta serta Tahun Melawat Brunei pada tahun hadapan.