Pelantikan Menteri Penyelaras tingkatkan kesepaduan kerajaan capai Wawasan Brunei 2035

4 Og 2026 - 10:33am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dengan penuh hormat dan takzim menjunjung kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyusun semula barisan Kabinet pada 4 Jun 2026, di saat negara berada pada fasa pelaksanaan menuju Wawasan Brunei 2035, sebagai satu mercu tanda penting dalam tempoh kurang daripada satu dekad.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II menggariskan perkara itu ketika membentangkan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

Sesungguhnya limpah kurnia titah baginda bagi mewujudkan tiga jawatan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Dasar-Dasar Ekonomi, dan Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia jelas Yang Berhormat untuk memperkukuh penyelarasan dasar merentas kerajaan, adalah langkah berpandangan jauh yang tepat pada waktunya, dan merupakan satu manifestasi kewibawaan serta kepimpinan bijaksana lagi berdaulat baginda dalam mengemudi barisan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. 

Yang Berhormat sukacita mengimbas dan menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Ke-92 pada 15 Jun 2026 iaitu Mesyuarat Pertama Menteri-Menteri Kabinet yang baharu dilantik melalui rombakan Kabinet pada 4 Jun yang lalu, di mana baginda telah bertitah menegaskan bahawa jawatan Menteri Penyelaras bukan sekadar satu gelaran, tetapi merupakan satu amanah untuk memastikan kementerian-kementerian di bawah sektor Keselamatan Negara, Ekonomi, Sosial dan Tenaga Manusia bergerak seiring dengan matlamat yang dihasratkan. 

Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menjunjung kasih di atas limpah perkenan baginda yang telah memberikan mandat kepada Menteri-Menteri Penyelaras untuk mengeluarkan arahan yang bersesuaian bagi menyelaraskan tindakan kementerian-kementerian berkenaan apabila berhadapan dengan isu-isu kepentingan negara yang bersifat ‘cross-cutting.