Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melancarkan Pelan Strategik JPA 2026 - 2030 dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, di sini, hari ini.
Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir, Setiausaha- setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah pentadbiran di kementerian-kementerian, pegawai-pegawai pentadbir, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan para jemputan.
Pelancaran berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh hala tuju dan keutamaan strategik JPA selaras dengan perkembangan keperluan Perkhidmatan Awam (PA) serta aspirasi pembangunan negara.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Norfarizal bin Othman dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa pelancaran Pelan Strategik JPA 2026 - 2030 merupakan satu lagi detik pencapaian penting dalam usaha berterusan JPA memperkukuh peranan dan keupayaannya sebagai agensi peneraju pengurusan sumber manusia sektor awam, selaras dengan perkembangan keperluan PA dan agenda pembangunan negara.
Beliau juga menekankan dalam persekitaran yang semakin dinamik, kecemerlangan sesebuah organisasi bergantung kepada keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan, di samping terus membudayakan nilai-nilai teras dan etika kerja yang tinggi dalam kalangan warga PA.
Tambahnya lagi, pengalaman serta pencapaian yang diraih menerusi pelaksanaan pelan strategik terdahulu telah menjadi pemangkin kepada usaha penambahbaikan berterusan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada pelbagai pihak berkepentingan.
Dr. Norfarizal juga berharap agar pelan strategik berkenaan akan menjadi panduan dan pemangkin kepada usaha berterusan dalam membentuk sebuah PA yang lebih tangkas, berintegriti, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan demi kemajuan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.
Pelan Strategik JPA 2026 - 2030 menggariskan hala tuju dan keutamaan strategik jabatan bagi tempoh lima tahun akan datang berlandaskan misi 'Memperkukuh Kepercayaan, Menerajui Kecemerlangan', dengan aspirasi untuk menjadi 'Peneraju dalam Memajukan PA Cemerlang Melalui Kepakaran Sumber Manusia dan Pematuhan' menjelang 2030.
Pelan Strategik berkenaan berteraskan empat Bidang Keberhasilan Strategik (Strategic Result Areas - SRAs), iaitu Penyampaian PA yang Cekap dan Berkesan, Khidmat Nasihat Sumber Manusia yang Inovatif dan Berkepakaran, Integriti Institusi dan Keyakinan Awam dan Ekosistem Peraturan yang Kukuh dan Saksama.
Keempat-empat Bidang Keberhasilan Strategik berkenaan disokong oleh tujuh inisiatif strategik yang memberi tumpuan kepada Kerangka Dasar dan Tadbir Urus Sumber Manusia; Kepimpinan dan Perancangan Penggantian; Pembelajaran, Keupayaan dan Pembangunan Tenaga Kerja; Kesejahteraan Warga Kerja dan Persekitaran Tempat Kerja yang Menyokong; Pendigitalan dan Teknologi Sumber Manusia; Pengukuhan Pengawasan Strategik dan Integriti Tadbir Urus; dan Kerjasama dan Penandaarasan Serantau dan Antarabangsa.
Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, pelan strategik berkenaan disokong oleh satu kerangka objektif prestasi yang komprehensif berserta mekanisme pemantauan yang tersusun termasuk semakan prestasi secara suku tahunan, pelaporan tahunan serta pemantauan prestasi secara digital bagi menilai kemajuan dan pencapaian sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Pembangunan pelan strategik berkenaan telah dimulakan pada 2025 melalui proses perancangan strategik yang berstruktur dan bersifat konsultatif. Pelan berkenaan dirumuskan melalui kerangka perancangan strategik yang merangkumi empat peringkat utama, iaitu perancangan dan penyelidikan, analisis strategik, perumusan strategi serta pelaksanaan strategi.
Proses penyediaannya melibatkan bengkel perancangan strategik, mesyuarat Pasukan Petugas dan retreat perancangan strategik, di samping mengambil kira pengalaman daripada pelaksanaan pelan-pelan strategik terdahulu, analisis terhadap persekitaran strategik yang sentiasa berkembang, penglibatan pihak-pihak berkepentingan serta perubahan peranan JPA dalam menyokong proses desentralisasi pengurusan sumber manusia di seluruh PA.
Pelan strategik berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan JPA dalam memperkukuh pengawasan strategik, meningkatkan keupayaan organisasi serta menyokong pembangunan sebuah PA yang diyakini, berprestasi tinggi dan bersedia menghadapi masa hadapan demi terus memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada kerajaan dan orang ramai.