Berita dan Foto : Ihsan Asri Hussin
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Festival Seni Antarabangsa bagi pelajar Sekolah Menengah (International High School Art Festival), yang dianjurkan oleh International Foundation for Arts & Culture (IFAC), menawarkan platform unik kepada pelajar sekolah menengah atas untuk mempamerkan bakat kreatif mereka yang cemerlang di pentas global.
Setiap tahun, antara 10,000 hingga 15,000 karya seni dihantar oleh pelajar dari seluruh dunia, dengan 500 karya terbaik dipilih untuk dipamerkan di National Art Centre yang berprestij di Tokyo.
Karya-karya berkenaan menonjolkan perspektif budaya yang unik dari negara-negara peserta.
Pada tahun ini, empat karya seni dari Negara Brunei Darussalam (NBD) telah terpilih untuk dipamerkan. Mewakili negara dalam Majlis Penyampaian Anugerah ialah Dayang Siti Nurhasmah Rabiatul binti Muhammad Zulkamal dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES), yang meraih tempat pertama dalam pemilihan peringkat kebangsaan menerusi karya beliau yang berjudul 'Adai-Adai'.
Pada 5 Ogos 2026, Dayang Siti Nurhasmah Rabiatul telah menerima anugerah berprestij berkenaan dalam satu majlis yang berlangsung di The Ritz-Carlton, Tokyo.
Dalam ucapan penerimaannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IFAC kerana menganjurkan festival yang begitu bermakna dalam menghimpunkan para pelajar dari seluruh dunia untuk berinteraksi serta menzahirkan keindahan dan identiti negara masing-masing melalui seni.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada keluarga dan guru atas sokongan dan dorongan yang berterusan, serta kepada Kementerian Pendidikan dan jawatankuasa penganjur kerana memberikan peluang yang begitu berharga untuk mewakili negara di persada antarabangsa.
Pencapaian Dayang Siti Nurhasmah Rabiatul sekali lagi menjadi satu kebanggaan buat PTES, susulan kejayaan Dayang Aina Adrianna binti Ariffeen dan Awang Asrol bin Purot, kedua-duanya dari PTES, yang turut menerima penghormatan yang sama dalam dua tahun berturut-turut sebelum ini.
Selain karya Dayang Siti Nurhasmah Rabiatul, tiga lagi karya seni dari NBD turut dipamerkan di National Art Centre, Tokyo.
Pemenang tempat kedua dan ketiga, masing-masing diraih oleh Awang Muhammad Syafiq Aiman bin Rosmadi dan Dayang Iffa Nadia binti Suhaimy, kedua-duanya dari PTES. Manakala pemenang tempat keempat ialah Awang Muhammad Danish Qawi bin Mohammad Hairul Iswandi dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali.
Pengiktirafan antarabangsa berkenaan menjadi bukti kepada kreativiti dan potensi besar anak-anak muda NBD, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mengejar minat serta membentuk masa depan seni negara.