Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. – Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan dari segi pelaburan, Kementerian Kewangan mengamalkan pendekatan berdisiplin dalam menilai setiap peluang pelaburan.
Sebarang cadangan pelaburan termasuk yang melibatkan aset strategik di negara-negara lain yang berpotensi bagi pelaburan dan tidak terhad kepada Arab Saudi akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan analisis kos dan faedah (‘cost benefit analysis’), penilaian 'value for money', potensi pulangan jangka panjang serta risiko yang berkaitan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan ll bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam mengenai sejauh manakah pembaharuan dasar Arab Saudi yang membuka peluang bagi pemilikan hartanah oleh Muslim asing di Makkah dan Madinah dinilai dalam Pelan Strategik Pelaburan Negara melalui analisis kos-faedah dan value for money terhadap pemilikan tambahan aset-aset strategik Brunei di Tanah Suci, termasuk memperkukuh kebajikan jemaah, mengoptimumkan kos penginapan dan menjamin kesinambungan perkhidmatan jangka panjang.
Pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat Menteri Kewangan ll seterusnya menjelaskan Kementerian Kewangan juga mengambil kira keadaan pasaran yang sentiasa berubah termasuk harga aset yang boleh berubah mengikut perkembangan semasa yang tidak dapat dijangka.
Oleh itu, pendekatan Kementerian Kewangan adalah jelas iaitu melaksanakan pelaburan pada struktur, harga dan masa yang tepat (‘right structure, right price and right time’) dengan memastikan peluang tersebut benar-benar berbaloi dan selaras dengan kepentingan strategik negara.
Dalam meneliti peluang pelaburan di Kerajaan Arab Saudi secara khusus, Yang Berhormat menambah, Kementerian Kewangan turut mengambil kira keperluan NBD terutamanya yang berkaitan dengan ibadah haji dan umrah termasuk memperkukuh kebajikan jemaah, mengoptimumkan kos penginapan serta menjamin kesinambungan perkhidmatan dalam jangka panjang.
Yang Berhormat menegaskan bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat boleh yakin bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan terus memperkukuh hubungan strategik dengan Kerajaan Arab Saudi serta meneroka peluang-peluang yang memberi manfaat bersama.
Menutup penjelasannya, Yang Berhormat menegaskan bahawa setiap keputusan pelaburan akan dibuat secara berdisiplin berdasarkan merit dan pertimbangan yang teliti demi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.