Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN,Isnin, 3 Ogos. - Di bawahP10 (Pekerjaan Luar) daripada Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib), Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Penggal 83), seseorang pegawai kerajaan ingin menjalankan pekerjaan luar atau perniagaan secara sambilan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), mana-mana pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah diberikan kebenaran untuk menjalankan pekerjaan luar atau perniagaan kecil akan dikenakan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan antaranya, perniagaan tersebut tidak boleh dijalankan dalam waktu pejabat atau semasa pegawai dikehendaki melaksanakan tugas rasminya termasuk meninggalkan tempat bertugas bagi menguruskan urusan perniagaan.
Ini jelas kerana tanggungjawab utama bagi seseorang individu, pegawai atau kakitangan kerajaan adalah diberikan kepada tanggungjawab dan peranannya sebagai pegawai atau kakitangan kerajaan dan aktiviti usaha niaganya sudah setentunya jelas iadibuat atau diberi kebenaran untuk dilaksanakan di luar tanggungjawabnya, di luar skop pekerjaannya dan di luar waktu pejabat.
Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad menyatakan perkara tersebut bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengenai tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap kakitangan dan pegawai kerajaan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti menjual Nasi Katok atau kuih-muih secara penghantaran pada waktu bekerja.
Yang Berhormat Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam) seterusnya mengongsikan, setakat ini, permohonan yang dipertimbangkan bagi menjalankan pekerjaan luar atau perniagaan secara sambilan adalah terdiri daripada Bahagian lll dan ke bawah. Seterusnya, setiap pegawai dan kakitangan diberikan kebenaran juga, hendaklah sentiasa mematuhi peraturan yang berkuatkuasa, mengekalkan nilai-nilai integriti sebagai penjawat awam serta memastikan kepentingan dan tanggungjawab pekerjaan rasminya sentiasa diberi keutamaan.
Dalam hubungan ini, ketua jabatan dan penyelia masing-masing adalah bertanggungjawab untuk memantau kehadiran dan keberadaan pegawai dan kakitangan tersebut dalam waktu bekerja termasuk tahap prestasi mereka dari semasa ke semasa.
Kebenaran menjalankan perniagaan, pekerjaan luar atau perniagaan sambilan boleh ditarik pada bila-bila masa sekiranya ia jelas menjejaskan prestasi kerja harian pegawai dan kakitangan berkenaan.
Berkenaan dengan soalan adakah siasatan akan dijalankan berikutan ketiadaan mereka di pejabat yang boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, Yang Berhormat menjelaskan, seperti dinyatakan sebelum ini bahawa, memanglah tanggungjawab tersebut adalah terletak di atas ketua jabatan masing-masing sekiranya terdapat aduan atau maklumat yang sahih yang berasas bahawa seorang pegawai dan kakitangan itu meninggalkan tempat bertugas tanpa kebenaran kerana urusan niaga atau menjalankan perniagaan semasa waktu bekerja sehingga jelas menjejaskan penyampaian perkhidmatan organisasi, maka ketua jabatan hendaklah meneliti, membuat teguran dan menasihatkan sebagaimana yang perlu kepada pegawai dan kakitangan berkenaan.
"Sekiranya siasatan diperlukan dan didapati pelanggaran-pelanggaran peraturan maka tindakan akan diambil ke atas pegawai berkenaan menurut peraturan - peraturan yang berkuatkuasa," tambah Yang Berhormat pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.