Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Isnin, 13 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) bersabda mengingatkan kepada semua atlet dan pegawai-pegawai yang akan mewakili negara di Sukan Komanwel Glasgow untuk sentiasa menjaga disiplin di sepanjang Sukan Komanwel bagi sama-sama menjaga nama baik Negara Brunei Darussalam (NBD).
Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah lagi ingin mengingatkan kepada atlet yang akan mewakili negara di Sukan Komanwel Glasgow untuk bertanding dengan penuh bersemangat juang yang tidak kendur-kendur dan bukannya hanya sekadar penyertaan sahaja.
“Berilah tumpuan dan komitmen ke atas pertandingan ‘abiskita’ kerana saya percaya inilah salah satu pemangkin yang bakal membawa ‘abiskita’ ke arah kecemerlangan dan gunakanlah kesempatan ini untuk membuktikan kebolehan ‘abiskita’.
“Penyertaan kontinjen negara pada kali ini telah menyenaraikan penyertaan wanita yang terdiri tiga atlet dan seorang Chef de Mission, yang ini menunjukkan yang kita sentiasa mengutamakan penyertaan wanita dalam sukan secara inklusif bagi memastikan keseimbangan jantina dalam pembangunan sukan negara seperti yang terdapat dalam Pelan Strategik Wanita dalam Sukan, BDNOC,” sabda Duli Yang Teramat Mulia semasa Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen NBD ke Sukan Komanwel Ke-23, 2026, Glasgow, Scotland yang diadakan di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Terdahulu dalam sabda DYTM mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) atas sokongan yang diberikan kepada BDNOC.
Pada tahun ini, sabda DYTM, NBD akan menghantar kontinjen seramai 12 orang yang terdiri daripada seorang Chef de Mission, dua pegawai urus setia dan tiga jurulatih serta enam atlet dalam tiga acara sukan iaitu sukan angkat berat (seorang atlet lelaki), sukan olahraga (seorang atlet wanita dan seorang atlet lelaki) dan sukan renang (dua atlet wanita dan seorang atlet lelaki).
Dalam hubungan ini, DYTM sukacita mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet yang terpilih untuk mewakili negara terutama sekali atlet sukan angkat berat yang mana telah pun sekali lagi berjaya melayakkan diri ke acara 65kg dalam sukan angkat berat di Sukan Komanwel Glasgow nanti.
Sabda DYTM lagi, pencapaian atlet sukan angkat berat ini hendaklah dijadikan contoh kepada semua atlet-atlet kebangsaan untuk sentiasa berusaha dengan lebih gigih untuk melayakkan diri bukan sahaja bagi Sukan Komanwel malah bagi semua sukan yang akan disertai NBD seperti Sukan Olimpik, Sukan Belia Olimpik, Sukan Asia dan sebagainya.
Dalam pada itu, DYTM yakin bahawa semua atlet-atlet yang terpilih di sini telah sedia maklum akan peraturan-peraturan ‘anti-doping’ yang dikuatkuasakan oleh World Anti-Doping Agency (WADA) yang mana hendaklah dipatuhi di sepanjang masa.
“Di sini, saya juga ingin mengingatkan semua pegawai-pegawai dan jurulatih-jurulatih kontinjen kita untuk memastikan dan menjaga aspek Safeguarding Athlete iaitu memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan atlet hendaklah sentiasa diberi keutamaan di sepanjang Sukan Komanwel nanti. Perkara ini adalah antara aspek yang sangat diambil berat oleh BDNOC,” sabda DYTM lagi.
DYTM seterusnya bersabda mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada persatuan sukan kebangsaan dan jurulatih-jurulatih yang terlibat serta ibu bapa atlet-atlet yang akan mewakili negara di Sukan Komanwel Glasgow kerana memberikan bimbingan sokongan dan dorongan yang berterusan kepada atlet-atlet yang terpilih di sini.
Bagi mengakhiri sabda, DYTM berdoa semoga kontinjen negara yang terdiri daripada atlet-atlet, jurulatih dan pegawai akan sentiasa sihat walafiat dan dalam peliharaan Allah Subhanahu Wata’ala.