Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BELAIT, Ahad, 12 Julai. - Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), baru-baru ini telah menjalankan satu Operasi Sepadu di dua lokasi berasingan di kawasan Jalan Sungai Pandan, Kuala Belait.
Operasi berkenaan diketuai oleh Pegawai Jenayah Daerah Belait, Timbalan Penguasa Polis, Awang Mohd. 'Izzuddin Hanis bin Haji Md. Salleh, dan melibatkan seramai 59 pegawai dan anggota dari Balai Polis Kuala Belait, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU).
Hasil daripada operasi berkenaan, JKED telah mengesan 14 kesalahan di bawah Seksyen 146(1) Perintah Eksais 2006 melibatkan barang tegahan, iaitu 69 paket rokok pelbagai jenama serta satu botol minuman keras.
Operasi seumpama berkenaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi mengesan, mencegah dan membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Orang ramai adalah dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan negara.