Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BELAIT, Isnin, 3 Ogos. - Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu di dua lokasi berasingan di Daerah Belait, iaitu di Jalan Kuala Balai dan Jalan Pandan 5, baru-baru ini.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Jenayah Daerah (DCO), Timbalan Penguasa Polis Mohd. 'Izzuddin Hanis bin Haji Md. Salleh dan melibatkan seramai 59 pegawai dan anggota daripada PPDB, Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).
Hasil operasi berkenaan, pihak BKN telah menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, pihak JKED telah mengesan 14 kesalahan di mana 12 individu telah dipercayai memiliki barang tegahan, iaitu 73 paket rokok pelbagai jenama dan satu unit vape.
PPDB akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi-agensi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang. Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa.