Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Buruh
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Usai 176 / 2026 di kawasan Bandar Seri Begawan pada 22 Julai 2026, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan ke atas kegiatan pusat beli belah telah mendapati sebanyak lapan kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap beberapa pekerja tempatan dan asing iaitu Bab 10, pekerja tidak disediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis dan Bab 39(2), majikan tidak membayar kerja lebih masa.
Seterusnya, Bab 44, membuat pemotongan gaji yang bertentangan dengan Akta Pekerjaan, Penggal 278; Bab 65, pekerja bekerja melebihi jam yang ditetapkan; Bab 71, majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja dan gagal memberikan cuti tambahan satu hari bagi setiap 12 bulan dalam perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama dan Bab 72, gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Selain itu, majikan juga didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 112(2), kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan penolong pembuat kek melakukan pekerjaan sebagai promosi jualan dan Bab 113A(3), majikan didapati memotong gaji pekerja untuk pembelian perlindungan insurans perubatan pekerja.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti majikan hendaklah menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis yang ditandatangani oleh majikan dan pekerja.
Seterusnya, majikan hendaklah membayar gaji kerja lebih masa jika pekerja bekerja melebihi 8 jam sehari atau bekerja melebihi 44 jam dalam seminggu dan majikan hendaklah membuat pemotongan gaji yang selaras dengan kehendak undang-undang serta pekerja-pekerja tidak boleh bekerja melebihi 8 jam sehari tanpa pembayaran kerja lebih masa dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari bagi pekerja syif serta tidak dibenarkan bekerja lebih masa melebihi dari 72 jam dalam sebulan.
Selain itu, majikan juga perlu memberikan cuti tahunan berbayar setelah tiga bulan berkhidmat di syarikat yang sama, memberikan cuti sakit berbayar yang disahkan oleh pengamal perubatan, memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh dan majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja untuk membiayai insurans perubatan.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh menerusi talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).