Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) merupakan langkah penting dalam memperkukuh integriti, akauntabiliti dan kewibawaan institusi MMN.
Demikian dinyatakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee ketika membahaskan mengenai Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN yang dicadangkan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Dalam pada itu Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee juga memohon penjelasan mengenai pemakaian kod selepas tamat perkhidmatan, di samping mencadangkan penyediaan panduan pelaksanaan yang jelas, termasuk berkaitan pengendalian maklumat rasmi dan pematuhan Dasar Keselamatan ICT, bagi memastikan pelaksanaan kod yang lebih jelas, selaras dan berkesan.
Ujar Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, penjelasan tersebut dipohonkan bukan untuk mewujudkan piawaian yang berbeza, tetapi untuk memastikan kod berkenaan dilaksanakan dengan jelas, selaras dan tanpa pertindihan atau kekeliruan.