NBD sokong pemeteraian persetujuan Ipoh Accord

3 Og 2026 - 7:13am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pembangunan

IPOH, MALAYSIA, Ahad, 2 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai Negara-negara Anggota ASEAN dan Republik Rakyat China dalam melakar sejarah melalui pemeteraian persetujuan mercu tanda, Ipoh Accord sempena ASEAN-Ministerial Roundtable on Construction and Housing 2026 (ACMROCH 2026) di Ipoh, Perak pada 1 Ogos 2026.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Republik Rakyat China dan Malaysia telah dihadiri oleh para menteri dan wakil-wakil daripada NBD, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Viet Nam dan Timor-Leste.

Persidangan membawakan tema ‘Sustainable Cities, Quality Housing, and Cohesive Communities’ ini telah menghimpunkan lebih 300 peserta dari serantau.

Delegasi NBD telah diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak bersama rombongan daripada Kementerian Pembangunan.

Pemeteraian Ipoh Accord merupakan satu pencapaian strategik yang mengiktiraf perumahan sebagai pelaburan sosial jangka panjang. Ia melangkaui nilai pembinaan dengan memberi penekanan mendalam terhadap kualiti, ketahanan, kebolehcapaian, penyelenggaraan, kecekapan utiliti dan kebolehdiaman (liveability) secara menyeluruh bagi mewujudkan kejiranan yang selamat dan inklusif.

Melalui persetujuan ini, kerjasama serantau telah diperkukuhkan melalui tiga serampang utama : Kerjasama Kerajaan-dengan-Kerajaan (G2G) menerusi perkongsian dasar dan amalan terbaik; Kerjasama industri melalui penerimagunaan teknologi, inovasi dan penyelesaian mampan serta Kerjasama antara bandar ke bandar dalam pertukaran ilmu dan pengalaman ke arah membangunkan bandar yang inklusif, berdaya huni dan berdaya tahan.

Sejajar dengan matlamat Ipoh Accord, Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan telah menyampaikan Kenyataan NBD yang menggariskan komitmen kukuh negara berpandukan Wawasan Brunei 2035 melalui empat bidang keutamaan.

Antaranya, Pertama : Perumahan Mampu Milik dan Berkualiti untuk Semua iaitu mengekalkan dasar penyediaan tanah dan infrastruktur bersubsidi, di samping giat meneroka reka bentuk rumah pintar yang kos efektif, berciri inklusif bagi rakyat, terutama sekali golongan warga emas dan kanak-kanak serta model pembiayaan alternatif bagi mempercepatkan penyediaan perumahan.

Kedua : Perancangan Bandar Berdaya Tahan dan Adaptasi Iklim iaitu menerapkan strategi daya tahan ke dalam perancangan melalui standard mesra alam, mitigasi banjir dan pemuliharaan biodiversiti bagi memastikan pembangunan seimbang dengan pemeliharaan alam semula jadi dan warisan budaya.

Ketiga : Memperkukuh Perkhidmatan Bandar Penting iaitu usaha berterusan menaik taraf utiliti teras seperti bekalan air, keterhubungan jalan raya, perparitan, pengurusan sisa, dan sistem tenaga untuk menjamin kecekapan dan kesejahteraan rakyat.

Akhir sekali, keempat : Pelaburan Infrastruktur Pintar dan Mampan iaitu memanfaatkan teknologi digital dan penyelesaian dipacu data bagi menjamin keutuhan infrastruktur masa hadapan (future proofing) selaras dengan aspirasi bandar pintar.

Sebagai kemuncak persidangan, Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan juga telah mengumumkan hasrat NBD untuk melangkah ke hadapan sebagai tuan rumah bagi ACMROCH Edisi Ke-5 pada tahun 2027 seiring dengan Tahun Melawat Brunei, ‘Visit Brunei Year 2027’.