Berangkat menyaksikan separuh akhir Piala FA

24 Okt 2026 - 7:25am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Jumaat, 23 Oktober. - DPMM FC terpaksa akur dengan kekalahan 0 - 2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA 2026/2027 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan DPMM FC berdepan tugas mencabar menjelang perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 November depan, apabila JDT FC membawa bekalan dua gol untuk mengukuhkan peluang mara ke peringkat akhir.

Perlawanan yang disaksikan oleh 13,000 penyokong setia itu bermula rancak dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.

Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Berangkat sama, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

DPMM FC hampir membuka tirai jaringan pada minit-minit awal menerusi beberapa percubaan deras beberapa penyerang import mereka, namun ketangkasan penjaga gawang JDT berjaya menafikan peluang tersebut.

JDT FC yang turun selaku pasukan pilihan mula memperkemaskan rentak permainan, menerusi hantaran- hantaran kemas di bahagian tengah. Usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-9 apabila Bergson Gustavo Silveira Da Silva berjaya membolosi penjaga gawang tuan rumah.

Kedudukan 1 - 0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, DPMM FC cuba bangkit dengan melakukan beberapa pertukaran strategi  bagi memburu gol penyamaan.

Bagaimanapun, benteng pertahanan JDT mempamerkan disiplin tinggi untuk menyekat setiap asakan pasukan tuan rumah.

Sebaliknya, JDT FC berjaya menggandakan kelebihan pada minit ke-72 menerusi tandukan Pascual Israfilov Eddy Silvestre, sekali gus meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan kelebihan dua gol.

Keputusan 2 - 0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, memberikan JDT FC kelebihan menjelang aksi separuh akhir kedua.

Dalam Sidang Media yang diadakan selepas perlawanan, Ketua Jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister melahirkan pujian kepada para pemainnya yang menunjukkan prestasi yang sangat baik di sebalik terpaksa berhadapan dengan pemain pasukan lawan yang agak kuat, namun mereka tetap berusaha dengan padu di sepanjang permainan.

Perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim nanti akan menentukan pasukan mana yang bakal mara ke peringkat akhir Piala FA musim ini.

Sementara itu, dalam saingan Liga Super Malaysia 2026/2027, DPMM FC dijadualkan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 30 Oktober nanti.