Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - Tanggungjawab pelajar kepada raja dan negara ditunjukkan dengan mengetahui peranan sultan serta memahami sejarah negara dan Sultan-sultan Brunei.
Selain itu, mengamalkan nilai-nilai kemelayuan, keislaman dan keberajaan (Melayu Islam Beraja), mematuhi peraturan dan undang-undang termasuk peraturan sekolah, belajar dan berilmu pengetahuan serta menggunakan media sosial dengan bijak dan tanggungjawab. Kesemua ini menunjukkan pelajar taat setia dan mengasihi raja dan negara.
Perkara tersebut antara yang dikongsikan di dalam Perkongsian Ilmu bertajuk ‘Tanggungjawab Pelajar Kepada Raja dan Negara’ disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Kementerian Pendidikan, Dr. Dayang Siti Salwana Syarfa binti Haji Dahlan bagi menyerikan lagi Munajat Khas Semarak Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke - 239 diselajurkan dengan Program Keagamaan Senegara, Jabatan Pengajian Islam (JPI).
Acara Munajat Khas yang diadakan petang tadi itu disertai bersama oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dari Surau KHEU.
Turut serta, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU serta para pegawai kerajaan, guru-guru dan pelajar-pelajar dari sekolah Arab dan ugama di bawah KHEU.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau dari Dewan Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pekan Bangar.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat II, JPI, KHEU, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamzah dari Sekolah Ugama Bokok, Temburong.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, JPI, KHEU, Awang Muhammad Abdul Hadi bin Haji Bagol dari Sekolah Arab Temburong.
Selesai Perkongsian Ilmu, disusuli dengan bacaan Zikir Al-Maghfirah Wa Ar-Rahmah oleh Guru Ugama Terlatih, JPI, KHEU, Abang Hariz bin Abang Hadzman dari Sekolah Ugama Lamunin, Tutong bersama guru-guru dan pelajar-pelajar dari Sekolah Ugama Lamunin, Tutong.
Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, JPI, KHEU, Awang Haji Asri bin Haji Timbang dari Sekolah Arab Temburong.