MIB perkukuh identiti, perpaduan, jati diri masyarakat

24 Nov 2026 - 7:43am

Oleh : Khartini HamirFoto : Hernie Suliana Haji Othman

BERAKAS, Isnin, 23 November. - Forum Daerah-Daerah sempena Majlis Ilmu 2026 bagi Daerah Brunei dan Muara merupakan salah satu pengisian Majlis Ilmu sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.

Majlis mengambil tempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), pagi tadi.

Forum yang bertajuk ‘MIB : Bukan Sekadar Slogan, Ini Cara Hidup Kitani’ membincangkan kepentingan penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai panduan dan amalan dalam kehidupan seharian, serta peranannya dalam memperkukuh identiti, perpaduan dan jati diri masyarakat Negara Brunei Darussalam (NBD).

Forum berkenaan merupakan sebahagian daripada Forum Daerah-Daerah sempena Majlis Ilmu 2026 yang diadakan di keempat-empat daerah, selaras dengan tema sambutan tahun ini, ‘MIB : Tonggak Kedaulatan Negara’, menekankan kepentingan falsafah MIB sebagai asas dalam memelihara kedaulatan dan identiti negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Ilmu 2026.

Juga hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para jemputan khas.

Forum berkenaan telah dihadiri oleh seramai 500 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung, wakil-wakil sektor swasta, ahli akademik, penuntut institusi pengajian tinggi, golongan belia, ahli-ahli persatuan serta masyarakat setempat.

Forum tersebut menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Penolong Profesor, Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pengiran Dr. Hajah Siti Norainna binti Pengiran Haji Besar; Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit; dan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Awang Haji Azme bin Haji Matali, manakala Dr. Hafini bin Mahmud dari UNISSA selaku moderator.

Para panel forum saling menegaskan akan kepentingan MIB merupakan asas kedaulatan, identiti, jati diri dan hala tuju NBD.

Ketiga-tiga unsur Melayu, Islam dan Beraja saling melengkapi dalam membentuk kehidupan bernegara dan bermasyarakat, sementara penghayatan MIB bukan sekadar memahami konsep dan prinsipnya, malah perlu diterjemahkan melalui sikap, adab, akhlak dan amalan seharian dalam institusi keluarga, pendidikan, pekerjaan serta masyarakat.

Perbincangan turut mengetengahkan cabaran generasi muda dalam menghadapi globalisasi, perkembangan teknologi digital dan pengaruh budaya luar.

Sehubungan itu, penerapan MIB perlu dilaksanakan secara berterusan melalui pendekatan pendidikan yang kreatif, pembudayaan nilai sejak kecil dan pengukuhan jati diri.

Penggunaan media sosial serta penglibatan pencipta kandungan digital berpotensi menjadi medium strategik untuk menyebarluaskan nilai MIB secara menarik dan relevan dengan generasi masa kini.

Para panel forum juga menekankan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu, memelihara adat dan warisan budaya serta memperkukuh nilai amanah, kejujuran, tanggungjawab dan integriti.

Dalam konteks pembangunan ekonomi, MIB bukan penghalang kemajuan, sebaliknya menjadi landasan pembentukan budaya keusahawanan yang beretika, menyokong ekonomi tempatan dan berteraskan prinsip Islam.

Secara keseluruhannya, forum merumuskan bahawa kelangsungan dan kekuatan MIB bergantung pada penghayatan serta pengamalannya secara nyata oleh setiap lapisan masyarakat.

Justeru, kerjasama strategik antara keluarga, institusi pendidikan, masyarakat dan generasi muda perlu diperkukuh bagi memastikan MIB terus relevan sebagai asas pembentukan generasi berilmu, berakhlak, berdaya saing dan berjati diri dalam mendepani kemajuan serta cabaran semasa, tanpa mengabaikan warisan, nilai agama dan identiti kebangsaan.

Sesi forum turut disusuli dengan sesi soal jawab yang memberikan peluang kepada para hadirin untuk mengemukakan pertanyaan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada ahli-ahli panel mengenai penghayatan dan pengamalan falsafah MIB dalam kehidupan seharian.

Penganjuran forum ini diharap akan terus menjadi wadah dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap falsafah MIB, di samping menyemarakkan budaya ilmu serta memupuk kesedaran bersama mengenai tanggungjawab memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan NBD.