Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
JERUDONG, Isnin, 23 November. - Sambutan Hari Kebangsaan Kesultanan Oman diraikan dengan penuh meriah dalam Majlis Resepsi yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, pada malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Al Kathiry dalam ucapannya menjelaskan, sejak 24 Mac 1984, tarikh terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara, kedua-dua kesultanan kita yang terpisah jauh dari segi geografi, namun disatukan oleh keimanan, nilai-nilai bersama dan wawasan yang sehaluan, telah melangkah seiring.
Tambah Puan Yang Terutama lagi, pada bulan ini, hubungan persahabatan tersebut telah diperkukuh ke tahap yang lebih tinggi, apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik, Sultan Oman, telah berangkat tiba di negara ini.
Semasa lawatan negara tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada tahap Perkongsian Strategik, di samping menyaksikan pemeteraian Deklarasi Bersama, satu Perjanjian serta beberapa Memorandum Persefahaman yang membuka ruang baharu bagi memperluas kerjasama antara kedua-dua buah negara.
Majlis terdahulu dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara dan seterusnya diikuti dengan sesi memotong kek dan kemudiannya disusuli dengan sesi bergambar ramai.
Pencapaian penting sepanjang tahun ini menjadi bukti nyata kepada hubungan persahabatan yang utuh dan persaudaraan yang erat yang terus dipupuk antara Kesultanan Oman dan NBD.
Di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman, hubungan persahabatan kedua-dua buah negara kini telah diperkasa menjadi satu Perkongsian Strategik yang berteraskan sikap saling menghormati, nilai-nilai bersama serta aspirasi untuk mencapai ke arah keamanan dan kemakmuran.