Memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan radiologi

24 Nov 2026 - 7:20am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BERIBI, Isnin, 23 November. - Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency – IAEA), mengadakan Lawatan Misi Pakar IAEA bagi Penilaian Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Perubatan terhadap Kecemasan Radiologi (Assessment of Medical Preparedness and Response for Radiological Emergencies) selama lima hari, bermula 23 hingga 27 November 2026.

Lawatan Misi Pakar berkenaan merupakan antara aktiviti utama di bawah Program Kerjasama Teknikal IAEA bagi Tahun 2026–2027 (IAEA Technical Cooperation Programme 2026–2027), menerusi projek bertajuk ‘Establish Medical Capacity in Preparedness and Response for Radiological Emergencies’.

Kerjasama berkenaan bertujuan untuk memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan sektor kesihatan negara dalam menghadapi kecemasan yang melibatkan bahan radioaktif atau pendedahan kepada radiasi, khususnya daripada aspek persediaan dan pelaksanaan tindak balas perubatan yang berkesan.

Terdahulu, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud, dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penduduk negara ini kekal menjadi keutamaan asas Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menurutnya, walaupun negara ini jarang mengalami bencana besar, keadaan tersebut tidak seharusnya menyebabkan kita leka atau berasa terlalu selesa dengan keadaan yang ada. Antara cabaran terbesar dalam kesiapsiagaan menghadapi kecemasan ialah membuat pelaburan bagi sesuatu yang sememangnya kita berharap tidak akan berlaku atau diperlukan. Namun demikian, kesan akibat ketidaksediaan boleh jauh lebih besar berbanding pelaburan yang dibuat pada masa ini.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kecemasan radiologi menggambarkan cabaran tersebut. Walaupun jarang berlaku, potensi kesannya terhadap kesihatan awam, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan keyakinan orang ramai boleh menjadi amat besar. Tindak balas yang berkesan memerlukan keupayaan khusus, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta penyelarasan rapat antara pelbagai agensi.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pengaturan pengurusan bencana negara, yang disokong oleh Majlis Bencana Kebangsaan, menyediakan asas penting bagi memastikan tindak balas yang terselaras.

Di peringkat Kementerian Kesihatan tambahnya, usaha turut dipergiatkan bagi memperkukuh rangka kerja Pengurusan Kesihatan Bencana yang merangkumi perancangan kecemasan, kesiapsiagaan hospital dan tindak balas prahospital.

“Usaha-usaha ini amat tepat pada masanya memandangkan Kementerian Kesihatan sedang melangkah ke arah pelaksanaan Pelan Strategik 2027-2031 yang berpandukan visi ‘Negara yang Lebih Sihat’.

“Salah satu keutamaan utama dalam pelan ini ialah Keselamatan dan Sekuriti Kesihatan, yang disokong oleh objektif strategik untuk meningkatkan ketahanan sistem kesihatan.

“Fokus utamanya adalah untuk memperkukuh keupayaan keselamatan kesihatan negara serta mempersiapkan sistem penjagaan kesihatan agar mampu bertindak balas dengan berkesan terhadap ancaman yang muncul dan kecemasan berskala besar,” ujarnya lagi.

Awang Haji Adi Ihram seterusnya menjelaskan bahawa Misi Pakar IAEA berkenaan secara langsung menyokong hala tuju tersebut, di samping menyumbang kepada Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 3 mengenai Kesihatan Baik dan Kesejahteraan serta SDG 17 mengenai Kerjasama untuk Mencapai Matlamat.

Misi berkenaan tambahnya, merupakan sebahagian daripada Program Kerjasama Teknikal IAEA 2026-2027 melalui projek ‘Mewujudkan Keupayaan Perubatan dalam Kesiapsiagaan dan Tindak Balas terhadap Kecemasan Radiologi’.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan misi tersebut, beliau berkata, dalam tempoh lima hari akan datang, misi berkenaan akan meneliti pengaturan di peringkat kebangsaan dan sektor kesihatan, menilai keupayaan sedia ada serta mengenal pasti jurang keutamaan yang perlu ditangani.

“Melalui perbincangan pelbagai agensi, latihan simulasi berasaskan meja (table-top exercise) dan lawatan ke beberapa kemudahan penjagaan kesihatan terpilih, diharapkan misi ini dapat menghasilkan cadangan praktikal yang akan menjadi panduan bagi penambahbaikan pada masa hadapan.

“Bagi sebuah negara kecil seperti NBD, pendekatan yang diambil perlulah praktikal dan mampan. Kita tidak boleh mengharapkan setiap institusi memiliki semua keupayaan khusus yang diperlukan.

“Sebaliknya, kita perlu memanfaatkan sumber sedia ada secara berkesan, mewujudkan pengaturan rujukan dan sokongan yang jelas serta memastikan semua agensi dapat bekerjasama sebagai satu sistem yang terselaras,” ujarnya lagi.

Awang Haji Adi Ihram turut menambah bahawa saiz negara yang kecil juga boleh menjadi satu kelebihan memandangkan kebanyakan agensi kita sudah pun bekerjasama rapat, dan para pegawai sering mengenali rakan sejawatan mereka di organisasi lain. Hubungan berkenaan merupakan asas yang amat bernilai untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara.

Majlis yang berlangsung di Greenmont Hotel, Gadong berkenaan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan, wakil-wakil daripada agensi kerajaan yang berkepentingan serta pakar-pakar IAEA.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur dan seterusnya sesi taklimat mengenai misi berkenaan yang disampaikan oleh pakar IAEA, Dr. Tominaga.

Taklimat tersebut antara lain menggariskan pendekatan penilaian, garis panduan IAEA yang berkaitan serta aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lawatan misi berkenaan.

Objektif utama Lawatan Misi Pakar berkenaan adalah untuk menilai tahap kesiapsiagaan serta pengaturan tindak balas perubatan sedia ada di NBD dalam menghadapi kecemasan radiologi. Penilaian tersebut juga bertujuan merangka cadangan praktikal bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan.

Sehubungan itu, lawatan misi berkenaan akan memberikan tumpuan kepada beberapa bidang utama, termasuk penelitian terhadap pengaturan kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan radiologi di peringkat kebangsaan serta antara agensi. Ini merangkumi aspek peranan, tanggungjawab dan mekanisme penyelarasan antara agensi yang terlibat.

Penilaian turut meliputi keupayaan sedia ada dalam sektor kesihatan, khususnya daripada aspek kesihatan awam, perkhidmatan prahospital dan kesiapsiagaan hospital.

Selain itu, tahap kesiapsiagaan fasiliti-fasiliti penjagaan kesihatan terpilih akan dinilai berdasarkan garis panduan IAEA yang berkaitan. Penilaian tersebut juga akan mengenal pasti kekuatan operasi serta bidang-bidang yang memerlukan penambahbaikan, di samping merangka cadangan mengikut keutamaan dan pelan hala tuju yang bersesuaian bagi memperkukuh kesiapsiagaan perubatan, pembangunan kapasiti serta penyelarasan antara agensi.

Sepanjang lima hari pelaksanaan lawatan misi, pelbagai aktiviti akan dijalankan dari 23 hingga 27 November 2026. Aktiviti-aktiviti tersebut termasuk sesi taklimat teknikal, perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan, bengkel penilaian pelbagai agensi serta lawatan penilaian ke fasiliti-fasiliti penjagaan kesihatan terpilih.

Lawatan Misi Pakar tersebut melibatkan penyertaan pegawai-pegawai dan wakil-wakil daripada pelbagai jabatan serta perkhidmatan di bawah Kementerian Kesihatan, termasuk Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (Emergency Medical Ambulance Services - EMAS), Perkhidmatan Hospital, Perkhidmatan Radiologi, Perkhidmatan Makmal dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar.

Turut terlibat ialah wakil-wakil daripada pelbagai agensi berkepentingan, antaranya Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (National Disaster Management Centre - NDMC), Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (Safety, Health and Environment National Authority - SHENA), Pusat Penyelaras Kebangsaan bagi Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (National Chemical, Biological, Radiological and Nuclear - CBRN Focal Point), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), The Brunei Cancer Centre (TBCC) serta agensi-agensi berkaitan yang lain.

Melalui kerjasama teknikal bersama IAEA berkenaan, Kementerian Kesihatan berhasrat memanfaatkan kepakaran dan pengalaman antarabangsa bagi mengenal pasti bidang-bidang yang memerlukan pengukuhan serta membangunkan langkah-langkah penambahbaikan yang lebih berstruktur dan praktikal.

Penilaian berkenaan dijangka menghasilkan cadangan penambahbaikan mengikut keutamaan serta pelan hala tuju bagi pembangunan kapasiti, latihan, eksesais kecemasan dan penambahbaikan sistem kesiapsiagaan serta tindak balas perubatan terhadap kecemasan radiologi di NBD.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan, dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan, dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara, meningkatkan keselamatan pesakit dan petugas kesihatan, serta memastikan sistem penjagaan kesihatan negara kekal berdaya tahan dan berupaya memberikan tindak balas yang berkesan terhadap pelbagai bentuk kecemasan kesihatan awam.