Oleh : Nooratini Haji AbasFoto : Hernie Suliana Haji Othman
BERAKAS, Isnin, 23 November. - Kluster 5 dinobatkan juara keseluruhan setelah berjaya mengutip lima pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa pada Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (BDSG 2026) Ke-3.
Naib johan diraih oleh Kluster 2 dengan memperoleh empat pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa, sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Kluster 4 setelah meraih empat pingat emas, satu pingat perak dan empat pingat gangsa.
Sehubungan itu, Majlis Penutupan Rasmi Kejohanan BDSG Ke-3, Tahun 2026 diadakan petang tadi, bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian piala pada majlis penutup berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Juga hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Atur cara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan' dan diikuti dengan acara akhir olahraga yang mempertandingkan empat acara larian berganti-ganti, iaitu Unified Relay Kategori Perempuan dan Lelaki (4x25 meter) serta Relay Kategori Perempuan dan Lelaki (4x50 meter).
Sejurus selesai larian berganti-ganti, acara diteruskan lagi dengan perbarisan lalu kontinjen dan pegawai-pegawai teknikal, dan diikuti dengan penyampaian pingat kepada pemenang bagi Relay Kategori Lelaki dan Perempuan (4x50 meter).
Manakala itu, Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang Unified Relay Kategori Lelaki dan Perempuan (4x25 meter).
Pingat emas bagi Unified Relay Kategori Lelaki (4x25 meter) disandang oleh Kluster 6, Kluster 3 menyandang pingat perak dan pingat gangsa dimenangi oleh Kluster 5.
Bagi Unified Relay Kategori Perempuan (4x25 meter) pula, pingat emas diraih oleh Kluster 2, diikuti dengan Kluster 3 dan Kluster 4 yang masing-masing memenangi pingat perak dan pingat gangsa.
Meraih pingat emas bagi Relay Kategori Lelaki (4x50 meter) ialah Kluster 4, sementara pingat perak dimenangi oleh Kluster 3 dan Kluster 5 mendapat pingat gangsa.
Pingat emas Relay Kategori Perempuan (4x50 meter) pula disandang oleh Kluster 4, diikuti dengan pingat perak yang dimenangi oleh Kluster 5 dan Kluster 3 dengan pingat gangsa.
Majlis kemudiannya disempurnakan dengan penutupan rasmi Kejohanan BDSG Ke-3 Tahun 2026 oleh tetamu kehormat.
Pada tahun ini, sebanyak lima acara sukan dipertandingkan bagi BDSG Ke-3, iaitu bola jaring, ‘bocce’, badminton, futsal dan olahraga (kids athletics).
Kejohanan ini berlangsung selama lapan hari, bermula 16 hingga 23 November 2026, dengan penyertaan seramai 690 atlet pelajar sekolah rendah daripada enam kluster sekolah kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.
Penganjuran BDSG merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi pelajar dalam bidang sukan, di samping memperkukuh pembangunan sukan di peringkat sekolah.
Pada edisi kali ini, BDSG dikhususkan kepada penyertaan pelajar sekolah rendah, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas selaku penganjur bersama bagi memperluas peluang penyertaan kepada pelajar berkeperluan khas dalam kejohanan tersebut.
Selain itu, kejohanan ini turut berperanan mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dan persaingan sihat dalam kalangan pelajar melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.