Mewujudkan Sistem Pemantauan Prestasi Kebangsaan

6 Og 2026 - 4:52am

Oleh : Fathi Foad Abu Bakar

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin mengongsikan cadangan yang ingin dikemukakan ialah supaya penyelarasan ini disokong oleh satu Sistem Pemantauan Prestasi Kebangsaan Bersepadu (Integrated National Performance Monitoring System) yang berasaskan hasil nasional atau ‘national outcome’.

Contohnya tambah Yang Berhormat, sekiranya salah satu hasil nasional ke arah pengurangan kemiskinan (poverty reduction), ukuran kejayaannya tidak seharusnya tertumpu pada jumlah bantuan yang telah disalurkan semata-mata, tapi sejauh mana bantuan tersebut benar-benar berjaya mengubah kehidupan penerima dan membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.

Yang Berhormat berpandangan, keputusan yang baik, bergantung pada data yang tepat, terkini, sahih dan menyeluruh. Oleh itu, kita memerlukan ‘single source of truth’ yang menyepadukan maklumat daripada pelbagai kementerian supaya prestasi negara dinilai berdasarkan petunjuk dan data yang selaras.

"Ini bukan bermakna semua kementerian perlu menggunakan sistem yang sama atau menghapuskan ‘dashboard’ yang sedia ada. Apa yang lebih penting ialah memastikan semua maklumat tersebut dapat disepadukan, dikongsi secara bertanggungjawab supaya data berkaitan hasil nasional tidak lagi berada dalam silo kementerian masing-masing, sebaliknya memberi gambaran yang menyeluruh mengenai kemajuan negara Wawasan Brunei 2035," kata Yang Berhormat pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Untuk menilai perkara tersebut tambah Yang Berhormat, data daripada pelbagai kementerian dan agensi perlu disepadukan supaya perkembangan setiap penerima dapat dipantau secara menyeluruh bermula daripada bantuan yang diterima, penyertaan dalam program, peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan sehinggalah kepada tahap kemampuan mereka untuk berdikari.

Melihat pentingnya penyelarasan antara pelbagai kementerian dan agensi melalui Sistem Pemantauan Prestasi Kebangsaan Bersepadu kata Yang Berhormat dicadangkan untuk mengenal pasti kumpulan sasaran (target group), mengurangkan tunggakan permohonan, memperluaskan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dengan matlamat akhirnya untuk memastikan penerima mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan kerajaan dalam jangka panjang.

Yang berhormat juga mencadangkan supaya penyelarasan ini turut disokong oleh satu budaya penilaian prestasi yang berterusan (‘continuous performance assessment’) serta tindakan pembetulan yang cepat (‘rapid corrective action’) yang berasaskan bukti (‘evidence-based’).

"Pada pandangan kaola, bahawa tidak semua kelewatan berpunca daripada kelemahan pelaksanaan, adakalanya disebabkan oleh kekangan kapasiti, perubahan ekonomi global, teknologi, gangguan rangkaian bekalan, ‘supply chain disruption’ ataupun faktor geopolitik yang berada di luar kawalan negara.

"Oleh itu, proses semakan prestasi perlu disertai dengan penilaian risiko (‘risk assessment’), analisis punca utama (‘root cause analysis’) serta pendekatan yang adaptif, fleksibel agar perlaksanaan Negara Brunei Darussalam kekal relevan dengan cabaran semasa," ujar Yang Berhormat.

Di samping itu tambah Yang Berhormat lagi, pendekatan ini turut memerlukan penilaian risiko berterusan (continuous risk assessment) dan penilaian ketidakpastian (uncertainty assessment) yang berterusan, kepelbagaian sumber import serta memperbanyakkan kerjasama pelaburan strategik dengan negara-negara pengeluar makanan agar sumber import kitani tidak bergantung.

Harapan Yang Berhormat agar semua pihak memahami hala tuju yang sama, bekerjasama sebagai satu pasukan dan bersama-sama melaksanakan amanah ini dengan penuh komitmen.

Maka insyaaAllah, segala cabaran dapat ditangani dan Wawasan Brunei 2035 dapat dicapai demi manfaat negara serta rakyat, sebagaimana yang dihasilkan.