Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Dalam menyokong Usul Penyelarasan ini, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong ingin memfokuskan kepada satu perkara, iaitu bagaimana penyelarasan ini dapat diterjemahkan kepada peningkatan sosioekonomi rakyat khususnya di peringkat daerah, mukim dan kampung.
Yang Berhormat berkata, Wawasan Brunei 2035 bukan hanya mengenai pertumbuhan ekonomi pada peringkat nasional, kejayaannya juga perlu dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi. Setiap daerah, mukim dan kampung mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri. Ada yang mempunyai potensi pertanian, perikanan, pelancongan, makanan, kraf tangan, kebudayaan, ekonomi kreatif dan pelbagai lagi.
"Persoalannya bagaimana kekuatan ini dapat kita ubah menjadi aktiviti ekonomi yang berdaya maju dan mampu meningkatkan pendapatan produk? Sehubungan itu, kaola mencadangkan supaya diwujudkan satu pendekatan, Satu Kampung Satu Ekonomi. Konsep ini bukan bermaksud setiap kampung hanya menghasilkan satu produk tetapi setiap satu kampung dikenal pasti berdasarkan kekuatan sumber kemahiran dan keunikan ekonominya," tambah Yang Berhormat dalam usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat lagi, setiap kampung boleh diperkasakan berdasarkan kekuatan dan keunikannya sama ada dalam bidang pertanian, perikanan, pelancongan, kebudayaan, kraf tangan, makanan tradisional mahupun ekonomi kreatif untuk menjana pendapatan dan membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat.
Dengan cara ini Yang Berhormat, kita boleh sahaja membantu pengusaha kampung berniaga tetapi membina ekosistem ekonomi kampung.
"Kita sudah mempunyai asas melalui program seperti Satu Kampung Satu Produk atau 1K1P. Kaola melihat program ini mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan daripada sekadar penghasilan produk kepada satu rantaian pembangunan ekonomi. Kita perlu membantu pengusaha bukan sahaja menghasilkan produk tetapi memastikan produk tersebut mempunyai kualiti, pembungkusan, penjenamaan, pensijilan, pemasaran digital, akses kepada pembiayaan dan pasaran.
"Apa yang kita mahu ialah satu perjalanan yang jelas, daripada idea kepada produk, daripada produk kepada pasaran dan daripada pasaran tempatan kepada pasaran eksport. Jika berjaya, perusahaan kampung boleh berkembang menjadi PMKS yang lebih kukuh dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," ujar Yang Berhormat lagi.
Di sinilah kata Yang Berhormat melihat peranan Menteri-menteri Penyelaras amat penting. Pembangunan, sosioekonomi kampung tidak boleh tanggungjawab dilihat satu sebagai kementerian sahaja. Ia memerlukan penyelarasan antara kementerian dan agensi yang berkaitan dengan pertanian, perikanan, pelancongan, pembangunan, ekonomi, pendidikan dan latihan, belia, kewangan, infrastruktur, digitalisasi pembangunan masyarakat.
Oleh itu, Yang Berhormat mencadangkan supaya diwujudkan satu pelan pembangunan sosioekonomi kampung bersepadu dengan penglibatan kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, penghulu dan ketua kampung, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, sektor swasta serta masyarakat.
"Setiap kampung boleh mempunyai ‘profile’ dan peta potensi ekonominya sendiri. Dengan adanya data dan sasaran yang jelas, kita boleh menilai keberkesanan setiap program. Kaola juga ingin menyentuh mengenai belia sebagai penggerak ekonomi kampung. Kita mahu anak-anak muda di kampung diberikan ruang untuk membawa idea baharu dan teknologi baharu.
"Maka, boleh dilatih dalam bidang keusahawanan digital, pameran media sosial, E-dagang, Kecerdasan Buatan, penghasilan kandungan fotografi, produk dan pengurusan perniagaan," tambah Yang Berhormat.
Jelas Yang Berhormat, ini penting kerana pasaran hari ini, tidak lagi terhad kepada kawasan kampung atau daerah. Dengan teknologi digital, produk dari sebuah kampung di Tutong, Belait, Temburong atau Brunei dan Muara boleh dipasarkan kepada seluruh negara malah berpotensi menembusi pasaran luar.
Justeru, Yang Berhormat menyatakan melihat digitalisasi kampung juga boleh menjadi sebahagian daripada strategi mencapai Wawasan Brunei 2035.
"Selain itu, kita juga perlu melihat kampung sebagai sebahagian daripada rantaian pelancong negara. Kita mempunyai kraf tangan, makanan cerita tradisional, sejarah, budaya sungai, hutan, kawasan pertanian dan pelbagai identiti tempatan mempunyai nilai pelancongan. Jika disusun secara bersepadu, kita boleh membangunkan pelancongan komuniti berasaskan kampung yang bukan sahaja menarik pelancong tetapi memberikan pendapatan terus kepada masyarakat contohnya, pengunjung datang ke kampung bukan hanya untuk melihat sesuatu tempat tetapi menikmati makanan tempatan, membeli produk kampung, mengikut aktiviti budaya dan merasai pengalaman kehidupan masyarakat setempat. Ini mewujudkan satu rantaian ekonomi, pelancong datang, pengusaha mendapat pendapatan, produk tempatan terjual dan ekonomi kampung berkembang," jelas Yang Berhormat.
Dalam menarik pelaburan pula, Yang Berhormat seterusnya berpandangan kita perlu beralih daripada hanya melihat jumlah pelaburan kepada nilai pelaburan kepada rakyat. Kita perlu memastikan setiap pelaburan membawa nilai nyata kepada negara melalui pewujudan pekerjaan. Peluang kepada anak tempatan, penglibatan PMKS, pemindahan kemahiran dan teknologi serta pengembangan ekonomi di peringkat daerah dan kampung.
Dengan pendekatan ini kata Yang Berhormat, pelaburan bukan hanya masuk ke negara, tetapi nilai ekonominya turut mengalir kepada masyarakat.
"Kaola juga ingin mencadangkan supaya setiap daerah mempunyai sasaran ekonomi yang jelas berdasarkan kekuatannya. Dengan cara ini, pembangunan setiap daerah menjadi sebahagian daripada satu strategi ekonomi nasional. Kampung berkembang, daerah maju, ekonomi dipelbagaikan dan negara menjadi lebih berdaya tahan.
"Kaola ingin mengakhiri dengan satu perkara Wawasan Brunei 2035 tidak akan tercapai hanya melalui dasar kerajaan, ini memerlukan kerjasama kerajaan, sektor swasta dan rakyat. Menteri-menteri Penyelaras mempunyai peranan penting untuk memastikan kerjasama ini benar-benar berlaku dan tidak terhenti pada peringkat perancangan.
"Oleh itu, kaola ingin memaklumkan tiga cadangan utama : pertama, mewujudkan permintaan potensi ekonomi setiap daerah, mukim dan kampung; kedua, memperkenalkan pendekatan Satu Kampung Satu Ekonomi sebagai salah satu strategi memperkukuhkan ekonomi akar umbi; dan ketiga, mewujudkan Pelan Pembangunan sosioekonomi kampung bersepadu yang mempunyai sasaran tempoh pelaksanaan dan petunjuk prestasi yang boleh diukur.
"Koala percaya apabila setiap kampung diberikan peluang untuk membangunkan kekuatannya, rakyat bukan sahaja menjadi penerima pembangunan tetapi menjadi penggerak pembangunan negara," ujar Yang Berhormat lagi.
Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menyembahkan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda mewujudkan Menteri-menteri Penyelaras.
Yang Berhormat menyokong penuh usaha penyelarasan ini dan berharap mekanisme tersebut akan perkukuhkan kerjasama antara kementerian mempercepatkan pelaksanaan dasar dan memastikan manfaat pembangunan sampai kepada di peringkat rakyat termasuk mukim dan kampung. Kekuatan setiap kampung adalah kekuatan daerah, kekuatan setiap daerah adalah kekuatan negara. Dengan kesepaduan kerajaan dan rakyat, insyaaAllah kita dapat bergerak bersama menuju Wawasan Brunei 2035 demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.