Siaran Akhbar dan Foto : Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Al-Syarif Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Ogos. - Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Al-Syarif Brunei Darussalam telah menganjurkan Mesyuarat Agung Kali Ke-5 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pagi tadi.
Mesyuarat yang diadakan setiap dua tahun sekali itu bertujuan untuk meneliti dan mengesahkan minit Mesyuarat Agung yang lepas serta membentangkan laporan dan penyata kewangan bagi Tahun 1446 - 1447 Hijrah.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Naib Ra’es I, Ra’es Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam bagi Sesi 1446 - 1447H, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif dan Ahli-ahli Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Ahli Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, Awang Muhammad Khairulmuhtadee bin Hamzah, diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Mesyuarat Agung Ke-5 Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.
Acara diteruskan dengan pelancaran Sautur Rabitah Edisi Ke-3 oleh Ra’es Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Al-Syarif Brunei Darussalam dengan tayangan video pendek yang memaparkan isi kandungan Sautur Rabitah secara menyeluruh.
Istimewanya, Sautur Rabitah Edisi Ketiga turut memperkenalkan segmen baharu iaitu Karya Penulisan Azhari yang mengetengahkan hasil penulisan dan karya ilmiah Alumni Al-Azhar sebagai wadah perkongsian ilmu, pemikiran serta sumbangan intelektual kepada masyarakat.
Majlis diteruskan dengan meneliti dan mengesahkan minit Mesyuarat Agung Ke-4 Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, diikuti dengan pembentangan laporan program dan aktiviti yang telah dijalankan oleh Setiausaha Agung Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam bagi Sesi 1446 - 1447H, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.
Mesyuarat tersebut juga menyaksikan pembubaran Jawatankuasa Eksekutif 1446 - 1447H dan pelantikan Jawatankuasa eksekutif baharu bagi penggal 1448 - 1449H.
Majlis ditutup dengan ucapan ringkas dan penangguhan daripada salah seorang wakil ahli jawatankuasa eksekutif baharu dan bacaan Surah Al – ‘Asr serta tasbih Kaffarah al-Majlis secara beramai-ramai.