Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan program Bicara Santai Bersama Ilmuan bersempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Kali Ke-16.
Program berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNISSA, Pengiran Dr. Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim.
Program berkenaan menampilkan dua ahli panel, iaitu Profesor dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail; dan Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman.
Sesi bicara dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Dr. Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, selaku Moderator.
Melalui pendekatan perbincangan yang santai dan interaktif, para panel berkongsi pandangan, pengalaman serta ilmu yang bermanfaat kepada para hadirin. Program berkenaan turut menyediakan ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli panel serta mengemukakan persoalan berkaitan topik yang dibincangkan.
Antara perkara yang disampaikan ialah khazanah Islam dan sejarah Negara Brunei Darussalam (NBD) memperlihatkan bahawa ilmu, pendidikan dan nilai keagamaan telah menjadi asas penting dalam membentuk identiti, pemerintahan serta kehidupan masyarakat.
Semangat berkenaan selari dengan keteladanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat yang sentiasa mengutamakan usaha menuntut ilmu sebagai jalan memperkukuh iman, membina akhlak dan memajukan ummah.
Dalam mendepani dunia Kecerdasan Buatan (AI), ia perlu dimanfaatkan bukan sebagai pengganti pemikiran manusia, tetapi sebagai pencetus pemikiran, pemangkin kreativiti dan alat untuk memperluas penerokaan ilmu.
Penganjuran program berkenaan merupakan salah satu pengisian Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 yang bertujuan menyemarakkan budaya ilmu, memperluas perkongsian intelektual dan menggalakkan pertukaran pandangan dalam kalangan warga universiti.
Program berkenaan juga mencerminkan komitmen UNISSA dalam membentuk generasi yang berilmu, berfikiran terbuka dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan Khayra Ummah yang mampu memberikan sumbangan bermakna kepada agama, masyarakat dan negara.