Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof ketika membentangkan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis pagi tadi mengetengahkan keperluan mendesak penyelarasan menjelang Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II menekankan dalam tempoh tinggal kurang daripada satu dekad untuk menanai hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, keperluan penyelarasan merentas kementerian menjadi semakin mendesak.
“Sepertimana titah baginda, setiap kementerian tidak boleh lagi bergerak secara terpencil (silo), dan bahawa Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah menjadi penghubung utama dalam menyatukan usaha, keutamaan dan tindakan kerajaan ke arah matlamat yang sama demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” ujar Yang Berhormat.
Setentunya langkah ini jelasnya, adalah satu tindakan strategik yang mengambil kira keperluan penyelarasan negara yang lebih bersepadu bagi Wawasan Brunei 2035, di mana kerjasama yang lebih erat dan bersepadu antara kementerian dan agensi kerajaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pelaksanaan dasar serta program pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkesan dan berimpak tinggi.
Sehubungan itu jelas Yang Berhormat lagi, baginda juga telah menitahkan bagi Menteri-Menteri Penyelaras untuk berfungsi sebagai peneraju utama dalam menyelaras isu-isu merentas kementerian atau ‘cross-cutting issues’, serta bertanggungjawab bagi memastikan jurang pelaksanaan antara kementerian tidak dibiarkan melebar. Bagi tujuan ini, Menteri-Menteri Penyelaras diberikan mandat untuk mengeluarkan arahan penyelarasan yang bersesuaian.
Walau bagaimanapun tegasnya, sebarang keputusan yang melibatkan penggubalan dasar baharu, perubahan dasar berimplikasi strategik, peruntukan sumber yang signifikan, serta penyelarasan yang memberi kesan besar terhadap kepentingan negara tetap terlebih dahulu memerlukan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, Menteri-Menteri Penyelaras juga bertanggungjawab memantau kemajuan pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), mengenal pasti cabaran atau kelemahan yang timbul, serta memastikan tindakan pembetulan diambil dengan segera.
Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, bersama-sama Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, telah mengadakan beberapa sesi perbincangan mengenai bidang-bidang keutamaan dan susunan kementerian-kementerian di bawah kluster masing-masing.
“InsyaaAllah, saya akan terus bekerjasama dengan Menteri-Menteri Penyelaras dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet yang lain, bukan sebagai kementerian atau kluster yang bekerja secara berasingan, tetapi selaku satu pasukan yang bersatu padu dan saling menyokong, bagi merealisasikan hasrat baginda dalam menyatukan dan menyelaras usaha-usaha ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035,” ujarnya.