Menteri-menteri Penyelaras pemangkin penyelarasan pembangunan negara

6 Og 2026 - 4:48am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat menyatakan bahawa pewujudan Menteri-menteri Penyelaras merupakan satu langkah yang amat signifikan dan berpandangan jauh.

Menurut Yang Berhormat, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan setiap kementerian dan agensi kerajaan dapat bergerak secara lebih bersepadu, tersusun dan saling melengkapi dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh menyatakan perkara tersebut ketika menyokong usul penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Perkara ini juga jelas tercermin dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena rombakan dan pelantikan Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan-timbalan Menteri pada 4 Jun 2026, apabila baginda memperkenankan pelantikan tiga Menteri Penyelaras bagi memperkukuhkan penyelarasan dalam bidang keselamatan negara, dasar-dasar ekonomi serta dasar-dasar sosial dan tenaga manusia.

“Kaola juga ingin menyambut baik usaha serta perancangan yang telah digariskan oleh Menteri-menteri Penyelaras dalam memperkukuhkan kerjasama rentas kementerian, mempercepatkan pelaksanaan dasar serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Pendekatan ini diyakini mampu mempercepatkan agenda pembangunan negara dan memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi impak yang lebih menyeluruh kepada masyarakat,” jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, peranan Menteri-menteri Penyelaras adalah amat penting kerana pembangunan negara pada masa kini melibatkan pelbagai sektor yang saling berkait, termasuk pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, infrastruktur, keselamatan makanan, teknologi, alam sekitar, pembangunan sosial serta kebajikan rakyat memerlukan penyelarasan yang lebih inklusif dan berkesan.

Yang Berhormat menjelaskan bahawa penyelarasan yang mantap bukan sahaja dapat mengurangkan pertindihan fungsi antara kementerian, malah mempercepatkan proses membuat keputusan, mengoptimumkan penggunaan sumber serta memastikan pelaksanaan dasar bergerak ke arah matlamat yang sama.

Dalam hubungan ini, Yang Berhormat menegaskan pendekatan penyelarasan tidak seharusnya terhad kepada kementerian dan agensi kerajaan sahaja tetapi perlu melibatkan sektor swasta, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), institusi pendidikan, industri dan masyarakat supaya setiap pihak dapat bergerak sebagai satu pasukan ke arah matlamat negara yang sama.

Yang Berhormat juga berharap agar program-program serta projek-projek pembangunan yang telah menunjukkan keberkesanan dan memberi manfaat kepada rakyat akan terus diteruskan, diperkasakan dan ditambah baik mengikut keperluan semasa.

Dalam ucapannya Yang Berhormat juga menyatakan bahawa Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar sasaran pembangunan, malah merupakan aspirasi untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, menikmati kualiti kehidupan yang tinggi serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Yang Berhormat turut menyokong penekanan terhadap penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kebangsaan dan penggunaan Indeks Wawasan Brunei 2035 sebagai pengukur pencapaian, selaras dengan titah Kebawah DYMM agar kerangka Wawasan Brunei 2035 sentiasa relevan, responsif dan berupaya mencapai matlamat yang disasarkan.

Menurut Yang Berhormat, penyelarasan yang berkesan bukan sahaja memerlukan perancangan dan pelaksanaan, malah turut menuntut pemantauan, penilaian serta pengukuran impak supaya setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Mengakhiri ucapan, Yang Berhormat melahirkan keyakinan bahawa dengan adanya penyelarasan yang lebih berkesan melalui Menteri-menteri Penyelaras, disokong oleh pembangunan modal insan yang berkualiti, kesinambungan dasar pembangunan serta pemanfaatan teknologi secara bijaksana, negara akan lebih bersedia menghadapi cabaran global dan mempercepatkan pencapaian Wawasan Brunei 2035.