Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
KIARONG, Khamis, 30 Julai. – Seramai 28 murid Darjah VI Sekolah Ugama Haji Mohd. Jaafar Maun yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, di sini, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ketua Unit Maklumat, Perangkaan dan Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Noorhasnah binti Haji Zainal.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis sebelum diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim.
Manakala Doa Khatam Al-Quran telah dibacakan oleh salah seorang daripada peserta khatam, Awang Mohammad Sharif Hidayatullah bin Awang Mohammad Khairul Ilmi dan diteruskan dengan persembahan dikir.
Seterusnya, majlis menyaksikan sesi penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang diraikan yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.
Dengan pelaksanaan Majlis Khatam Al-Quran sebegini, ia sememangnya dihasrat untuk terus sama-sama menyahut hasrat kerajaan sebagai sebuah Negara Zikir dan memartabatkan falsafah Melayu Islam Beraja yang sekali gus untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, di samping sebagai galakan kepada murid-murid untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai budaya hidup dan amalan harian.