Meningkatkan penyertaan masyarakat dalam usaha pencegahan, pengurusan penyakit tidak berjangkit

6 Og 2026 - 5:54am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan bahawa pendekatan yang dicadangkan sememangnya telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan melalui pelbagai inisiatif yang menggabungkan pemantauan kesihatan, penglibatan komuniti, penggunaan teknologi digital serta galakkan kepada perubahan tingkah laku secara berterusan.

Antara inisiatif utama jelas Yang Berhormat lagi, ialah National Health Screening Programme (NHSP) melalui BruHealth, Health Index BruHealth, BN on The Move, Program Healthy Environment and Lifestyle (HEAL), Program Mukim Sihat dan Program BALANCE.

Yang Berhormat menekankan perkara tersebut semasa menjawab persoalan mengenai pendekatan pengurusan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang berasaskan komuniti serta penggunaan teknologi digital bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, hampir 8,000 penilaian risiko dilaksanakan bagi Januari hingga Jun 2026 bagi NHSP melalui BruHealth; lebih 6,500 individu lagi dikenal pasti memerlukan saringan lanjut dan hampir 1,600 temu janji saringan berjaya ditempah melalui BruHealth.

Jelas Yang Berhormat lagi, lebih 122,000 penilaian telah dihantar oleh pengguna dalam Health Index BruHealth dan membolehkan pemantauan kesihatan secara lebih diperibadikan atau ‘personalized’.

Sementara itu, BN on The Move tambah Yang Berhormat lagi, telah merekodkan 17.55 bilion langkah dalam tempoh Januari hingga Jun 2026, selain melibatkan antara 29,000 hingga 33,000 pengguna aktif setiap bulan serta menggunakan gamifikasi dan ganjaran digital bagi menggalakkan aktiviti fizikal. 

Menurut Yang Berhormat, Program HEAL pula melibatkan lebih 2,200 peserta melalui aktiviti komuniti berkaitan pemakanan sihat, aktiviti fizikal, kesihatan mental dan pencegahan tembakau.

Bukan itu sahaja, Yang Berhormat menyatakan Kementerian Kesihatan sebelum ini telah melaksanakan Program Mukim Sihat di beberapa buah mukim dan kampung sebagai inisiatif untuk memperkasa masyarakat setempat mengamalkan cara hidup sihat secara berterusan.

Program ini kata Yang Berhormat, memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku dan kemampanan amalan sihat, di samping menggalakkan ‘ownership’ pihak Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) dalam menerajui aktiviti promosi kesihatan dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Kesihatan.

"Keberkesanan pendekatan ini dapat dilihat pada Mesyuarat Kedua Permesyuaratan MMN Ke-22 bagi Tahun 2026 Pertanyaan Jawab Lisan melalui peningkatan penganjuran aktiviti kesihatan seperti walkaton dan program kecergasan yang diusahakan sendiri oleh komuniti di seluruh negara.

"Selaras dengan usaha memperkukuh inisiatif tersebut, Program Mukim Sihat telah diperkembangkan kepada Program HEAL. Melalui program ini, Pusat Promosi Kesihatan bekerjasama dengan beberapa pusat kecergasan bagi melaksanakan aktiviti fizikal secara berkala di peringkat komuniti.

"Program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dan mencerminkan komitmen berterusan masyarakat dalam menyokong usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit melalui pengamalan gaya hidup sihat," ujar Yang Berhormat lagi. 

Seterusnya Yang Berhormat berkata, lebih 80 peratus peserta yang menamatkan Program BALANCE bagi pesakit diabetes yang menunjukkan peningkatan kawalan HbA1c, iaitu pengurusan diabetes yang lebih baik.

Selain itu kata Yang Berhormat, kementerian juga akan terus memperkukuh penggunaan BruHealth sebagai platform bersepadu bagi penilaian risiko; saringan; pemantauan kesihatan; cabaran kesihatan; dan pengurusan penyakit kronik di samping akan terus memperkukuh lagi penggunaan teknologi digital, penglibatan komuniti dan pendekatan berasaskan data bagi meningkatkan penyertaan rakyat dalam usaha pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit. 

Bahkan tegas Yang Berhormat lagi, matlamat kementerian bukan sahaja mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit, malah memperkasa rakyat untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam menjaga kesihatan mereka sendiri ke arah masyarakat yang lebih sihat, produktif dan mempunyai kualiti hidup yang tinggi.