Meningkatkan kefahaman kaedah pelaksanaan sembahyang ketika bermusafir

2 Og 2026 - 6:31am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos. - Ibadah sembahyang fardu lima waktu merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam dalam apa jua keadaan.

Sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat Islam yang bermusafir, Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan rukhsah (keringanan), antaranya melalui pelaksanaan Sembahyang Jamak dan Qasar, agar ibadah berkenaan tetap dapat ditunaikan dengan sempurna.

Sehubungan itu, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) menganjurkan Program Tarbiyah Bersama Muallaf : Panduan Musafir yang diadakan di Dewan Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, PDI, Kampung Pulaie pada pagi tadi.

Program berkenaan disertai oleh 30 peserta dalam kalangan para mualaf.

Taklimat disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.

Antara pengisian program ialah penerangan mengenai panduan musafir, pelaksanaan Sembahyang Jamak dan Qasar, serta tatacara menunaikan sembahyang di dalam kapal terbang.

Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman yang lebih jelas kepada para mualaf mengenai kaedah pelaksanaan sembahyang ketika bermusafir agar mereka dapat menunaikan ibadah berkenaan dengan yakin dan sempurna.

Adalah diharapkan program berkenaan akan dapat meningkatkan kefahaman dan memantapkan keyakinan para mualaf dalam melaksanakan sembahyang ketika bermusafir, di samping menyemai kesedaran bahawa tanggungjawab menunaikan sembahyang fardu lima waktu hendaklah sentiasa dipelihara walau di mana jua mereka berada.