Menghayati, memperkasa amalan membaca Al-Quran

7 Og 2026 - 7:28am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK), Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 merupakan pesambah istimewa daripada rakyat dan penduduk negara ini untuk raja dan Ulil Amri yang sangat dikasihi dan ditaati.

Sehubungan itu, Pelita Brunei menemu bual beberapa peserta yang terdiri dari pelbagai peringkat umur yang menzahirkan perasaan gembira dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis baginda kerana terpilih menyertai Majlis Khatam tersebut yang mana mereka menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar serta pengalaman yang amat bermakna dalam sama-sama mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dan keberkatan usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menurut Dayang Mahaneh binti Asri yang berusia 60 tahun dari Kampung Penapar, Tutong menjelaskan bahawa penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja mencerminkan kecintaan rakyat kepada Al-Quran sebagai panduan hidup, malah menjadi wadah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Manakala Dayang Nurin Maisarah, 20 tahun juga dari Kampung Penapar, Tutong menjelaskan bahawa para peserta turut berharap agar amalan membaca, menghayati dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran akan terus diperkasakan dalam kehidupan seharian serta menjadi budaya yang berterusan dalam masyarakat di negara ini.

Beliau turut mendoakan semoga baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, keberkatan umur, kekuatan untuk terus memimpin negara serta dikurniakan lindungan rahmat dan inayah daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sementara, peserta yang terdiri daripada penuntut sekolah di Daerah Brunei dan Muara, Dayang Nur Wahidah binti Adzmin Eiddishah Yusof, 14 tahun dari Sekolah Seri Mulia Sarjana menjelaskan bahawa ini adalah pertama kali Dayang Nur Wahidah menyertai Majlis Khatam Al-Quran di Istana Nurul Iman dan peluang yang diberikan kepada beliau memberikan satu kenangan indah. Dayang Nur Wahidah melahirkan perasaan gembira kerana terpilih menyertainya.

Di samping itu, Dayang Nur Wahidah juga merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga baginda sentiasa sihat walafiat, dipanjangkan umur yang penuh keberkatan, dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.

Dayang Nur Ameera Qistina Zafirah binti Haji Hady Ahmady, 14 tahun dari Sekolah Seri Mulia Sarjana yang merupakan salah seorang peserta daripada penuntut sekolah menengah di Daerah Brunei dan Muara melahirkan rasa syukur dan sangat gembira kerana berpeluang menyertai Majlis Khatam Al-Quran buat pertama kali di Istana Nurul Iman.

Manakala bagi Awang Muhammad Tajjul Redhwan bin Morsidi dan Awang Hariol bin Muhammad Sahrani, penuntut dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong menyatakan, ini juga kali pertama bagi mereka menyertai Majlis Khatam Al-Quran di Istana Nurul Iman. Mereka menzahirkan perasaan amat teruja dan bersyukur serta gembira kerana terpilih.

Dalam kesempatan ini, mereka berharap para belia lain akan turut terlibat dalam majlis khatam pada tahun akan datang. Mereka turut mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berserta kerabat diraja yang lain dikurniakan umur yang panjang serta sentiasa berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Mereka turut berdoa agar Negara Brunei Darussalam sentiasa diberkati di bawah naungan baginda yang rakyat cintai.

Sementara itu bagi Dayang Arfah binti Zulklfi dari Kampung Kuala Tutong pula menjelaskan, “Alhamdulillah, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana diberi kesempatan untuk menyertai Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda”.

“Ini merupakan kali kedua saya menyertai majlis yang penuh keberkatan ini. Sudah tentunya saya berasa amat bersyukur dan berbesar hati kerana dapat bersama-sama memeriahkan majlis yang mencerminkan kecintaan terhadap Al-Quran serta menjadi wadah untuk memperkukuhkan penghayatan dan amalan terhadap ajaran suci Al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Hamba Kebawah Duli Tuan Patik merafakkan setinggi-tinggi junjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas limpah perkenan serta keprihatinan baginda dalam terus memartabatkan syiar Islam serta menggalakkan budaya membaca dan menghayati Al-Quran di Negara Brunei Darussalam.

“Hamba Kebawah Duli Tuan Patik juga merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta seluruh kerabat diraja serta keluarga diraja sentiasa dikurniakan rahmat, taufik dan hidayah, dipanjangkan usia dalam keafiatan, kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan adil lagi bijaksana, serta negara ini terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan keberkatan di bawah naungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal Alamin,” ujar beliau menjelaskan lagi.