Menekankan kepentingan integriti, kewibawaan Ahli MMN

7 Og 2026 - 10:41am

Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini mendengarkan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN yang dicadangkan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Dalam usul tersebut Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyatakan bahawa penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 25 Februari 2025 yang menekankan kepentingan integriti, kewibawaan, pemikiran terbuka, perundingan teratur dan tindakan proaktif dalam kalangan Ahli MMN.

Kod ini digubal oleh MMN dengan diterajui oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, mengambil kira pandangan Pejabat Peguam Negara, Biro Mencegah Rasuah, amalan terbaik antarabangsa serta pandangan Ahli-ahli MMN.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga mengongsikan bahawa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 12 Mac 2026 serta Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkukuh budaya kerja yang bersih, beretika dan berintegriti serta membanteras rasuah dan salah guna kuasa, dan berharap kod ini menjadi pemangkin kepada budaya integriti serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi MMN.

Kod ini jelas Yang Berhormat adalah melengkapi undang-undang sedia ada dengan menetapkan piawaian integriti dan ketelusan yang lebih tinggi, termasuk dalam pengurusan konflik kepentingan, penerimaan hadiah dan penyalahgunaan kedudukan.

Yang Berhormat seterusnya memaklumkan bahawa kod ini berteraskan lima prinsip utama iaitu kesetiaan, integriti, profesionalisme, ketelusan dan hormat-menghormati, serta meliputi etika semasa persidangan, pematuhan undang-undang, pengurusan konflik kepentingan, perlindungan maklumat sulit, penggunaan sumber awam dan mekanisme penguatkuasaan.

Dalam usul tersebut Yang Berhormat juga menekankan bahawa kod etika ini bukan untuk menyekat hak Ahli MMN, sebaliknya memastikan tanggungjawab dilaksanakan secara lebih teratur, bertanggungjawab dan berintegriti, di samping memberi perlindungan kepada Ahli MMN melalui pengisytiharan dan rekod maklumat yang telus.

Penggubalan kod ini jelas Yang Berhormat lagi adalah selaras dengan United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) serta amalan negara seperti United Kingdom, New Zealand dan Malaysia, dan menyeru Ahli-ahli MMN untuk terus memperkemas pelaksanaan kod ini bagi mempertahankan integriti, akauntabiliti dan kepercayaan rakyat terhadap institusi MMN.