Mendukung pembangunan kerjaya, profesional, keusahawanan

10 Og 2026 - 4:50am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 9 Ogos. - Pejabat Hal Ehwal Alumni (PHEA) dan Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sesi 2025/2027 dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN) serta Hab Keusahawanan (E-Hub) telah menganjurkan sesi taklimat khas yang diteruskan dengan forum perkongsian membawa tema ‘Convo - Set - Career’ bertempat di Dewan Auditorium, UNISSA baru-baru ini.

Program berkenaan dihadiri seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada bakal graduan UNISSA. 

Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada bakal alumni mengenai pelbagai inisiatif, perkhidmatan, dan peluang yang disediakan oleh PHEA, OCeAN, E-Hub, serta Persatuan Alumni UNISSA dalam menyokong pembangunan kerjaya dan profesional, keusahawanan serta pembelajaran sepanjang hayat. Selain mengukuhkan hubungan antara bakal alumni dengan UNISSA, program ini juga menjadi platform penting untuk menyampaikan dan menyediakan minda dan fizikal bakal graduan apabila melangkah ke alam pekerjaan yang semakin kompetitif.

Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mengikuti sesi taklimat strategik yang merangkumi pengenalan fungsi PHEA sebagai penghubung rasmi, kepentingan sistem Graduate Employment Survey (GES), peluang latihan industri (‘internship’), serta peluang keusahawanan yang ditawarkan.

Sesi berkenaan diteruskan dengan forum perkongsian ‘Convo - Set - Career’ yang menampilkan panel-panel khas terdiri daripada Awang Muhammad Fuad bin Matahir selaku Ketua PHEA, Dr. Zurairatul Zakiah binti Dato Seri Setia Haji Rajid selaku Ketua OCeAN dan Dayang Raihana binti Mohd. Raffi selaku Ketua E-Hub, yang dikendalikan oleh Awang Abdul Mujib bin Awg Sh’minan selaku Yang Di-Pertua Persatuan Alumni UNISSA selaku moderator bagi mengupas cabaran, peluang, dan realiti praktikal dalam pasaran kerja semasa. 

Bagi memantapkan lagi interaksi, program turut diserikan dengan aktiviti interaktif sebagai pembuka sesi, membarigakan platform media sosial organisasi, serta sesi kuiz interaktif yang menawarkan ganjaran berupa kad hadiah yang ditaja oleh usahawan-usahawan dari kalangan alumni UNISSA, serta baucar kopi kepada para pemenang.

Para peserta juga berpeluang untuk membuat lawatan ke pameran maklumat yang disediakan bagi mendapatkan konsultasi kerjaya secara langsung.

Melalui program seperti ini, diharapkan para bakal graduan akan dapat meningkatkan pengetahuan mengenai peranan alumni, memperluas jaringan profesional, serta membina kesediaan diri sebelum melangkah ke arah seterusnya.

Program ini juga diharap dapat memastikan bakal graduan memahami bahawa hubungan mereka dengan UNISSA akan terus terpelihara demi manfaat universiti dan masyarakat secara menyeluruh. Secara tidak langsung, ia mencerminkan komitmen berterusan UNISSA dalam melahirkan graduan yang holistik, proaktif, dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi selaras dengan keperluan pembangunan negara.