Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
GADONG, Khamis, 30 Julai. – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kesiapsiagaan sektor pelancongan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan menyokong agenda transformasi digital negara, Jabatan Kemajuan Pelancongan (JPK) di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) dengan kerjasama Bank Baiduri, sedang memudah cara penggunaan penyelesaian pembayaran digital dalam kalangan penjaja terpilih di Pasar Malam Gadong.
Sektor pelancongan terus menjadi penyumbang penting kepada kepelbagaian ekonomi NBD. Dengan ketibaan pengunjung antarabangsa dijangka mencecah kira-kira 850,000 orang pada 2026 dan sasaran 900,000 pengunjung semasa Tahun Melawat Brunei 2027, usaha meningkatkan pengalaman pengunjung serta memastikan perniagaan pelancongan bersedia memenuhi jangkaan pengunjung yang sentiasa berubah menjadi semakin penting.
Sebagai salah satu tarikan kulinari paling popular di NBD, Pasar Malam Gadong menempatkan lebih daripada 100 penjaja dan menjadi tumpuan penduduk tempatan serta pengunjung antarabangsa yang ingin menikmati hidangan asli NBD.
Walau bagaimanapun, maklum balas daripada pelancong khususnya pengunjung transit, pengunjung kapal persiaran dan pengunjung yang singgah untuk tempoh singkat menunjukkan kesulitan yang dihadapi akibat kebergantungan sepenuhnya kepada wang tunai. Bagi menangani perkara berkenaan, JKP telah bekerjasama rapat dengan Bank Baiduri untuk menggalakkan penjaja menggunakan penyelesaian pembayaran digital.
Setakat ini, dua penjaja telah berjaya menyertai inisiatif berkenaan, menandakan fasa pertama bagi usaha yang lebih meluas untuk memperluaskan pilihan pembayaran tanpa tunai di seluruh pasar malam berkenaan.
Pengenalan pembayaran digital membolehkan pengunjung menikmati pengalaman pembelian yang lebih mudah, selamat dan lancar, di samping memberikan manfaat nyata kepada peniaga tempatan. Transaksi tanpa tunai membantu perniagaan meluaskan ‘customer base’, meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan pergantungan kepada pengendalian wang tunai serta memperkukuh keterangkuman kewangan.
Bagi industri pelancongan, penerimaan pembayaran digital yang lebih meluas turut meningkatkan daya saing NBD dengan menggalakkan perbelanjaan pengunjung dan menyokong pembangunan destinasi yang moden serta mesra pengunjung.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada persediaan menyeluruh JKP bagi Tahun Melawat Brunei 2027, dengan mengambil kira hakikat bahawa pelancong masa kini semakin mengharapkan destinasi yang menawarkan perkhidmatan digital yang lancar sepanjang perjalanan mereka.
Dengan meningkatkan aksesibiliti pembayaran, NBD melangkah satu lagi usaha ke arah menyediakan pengalaman pengunjung yang lebih saling berhubung, mudah dan mesra, sambil mewujudkan peluang lebih besar bagi perniagaan tempatan untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan.
JKP, KEPI merakamkan penghargaan kepada Bank Baiduri dan para peniaga yang terlibat atas komitmen mereka terhadap inisiatif berkenaan, dan berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak peniaga bagi mempercepatkan penggunaan penyelesaian pembayaran digital di seluruh sektor pelancongan, sekali gus memperkukuh kedudukan NBD sebagai destinasi yang moden, mudah diakses dan bersedia untuk masa hadapan.