Mempromosikan keusahawanan, memupuk kolaborasi dalam ASEAN

4 Og 2026 - 6:45am

Berita dan Foto : Ihsan Persatuan Usahawan Muda Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) telah mewakili Negara Brunei Darussalam pada Forum ASEANext Forum dan Persidangan ASEAN 2026 yang berlangsung di Republik Singapura dari 29 hingga 31 Julai lalu, sekali gus menegaskan komitmennya dalam memperkukuhkan kerjasama serantau, mempromosikan keusahawanan serta memupuk kolaborasi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Delegasi Brunei diketuai oleh Presiden YEAB, Goh Chai Li, bersama Naib Presiden I, Awang Fahmiin Abdullah, serta ahli-ahli YEAB iaitu Awang Fauzi Said, Awang Saifullah Safwan dan James Goh.

Forum berkenaan dianjurkan oleh Singapore Business Federation (SBF) dengan kerjasama Young Business Leaders Network (YBLN) dan menghimpunkan pemimpin perniagaan generasi baharu, usahawan, pelabur serta penggubal dasar dari seluruh rantau ASEAN.

Sepanjang persidangan tersebut, para peserta mengikuti pelbagai ucaptama, sesi perbincangan panel dan aktiviti jaringan perniagaan yang membincangkan pelbagai isu semasa, antaranya kepimpinan mampan, perancangan penggantian perniagaan, modal teroka, Kecerdasan Buatan (AI), perubahan demografi serta cabaran ketidaktentuan geopolitik.

Forum itu turut menekankan kepentingan inovasi dan kerjasama rentas sempadan dalam membentuk masa depan ekonomi ASEAN yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Penyertaan tersebut turut memberi peluang kepada delegasi YEAB untuk bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin serantau, memperoleh pengetahuan praktikal daripada pakar industri serta memperkukuhkan hubungan dengan usahawan dari negara-negara ASEAN.

Pengalaman berkenaan juga membuka ruang kepada YEAB untuk memahami trend perniagaan yang semakin berkembang serta meneroka peluang baharu di peringkat serantau, di samping memperkukuhkan komitmen persatuan itu untuk membawa pulang pengetahuan dan amalan terbaik ke Brunei bagi menyokong pertumbuhan ekosistem keusahawanan negara.