Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Bengkel Teknik Pidato dan Pengucapan Umum bersempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 berlangsung di Bilik Kuliah, Tingkat 1, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Bengkel tersebut dikendalikan oleh Awang Muhammad Iqbaal Syakib bin Haji Suhib selaku fasilitator. Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan kepada teknik asas penyampaian pidato, penggunaan intonasi dan bahasa tubuh yang berkesan serta kaedah membina keyakinan ketika berucap di hadapan khalayak.
Selain memberikan penerangan secara teori, bengkel turut memberi peluang kepada para peserta untuk mempraktikkan kemahiran pengucapan umum melalui latihan dan aktiviti interaktif.
Pendekatan ini bertujuan membantu peserta memperbaiki gaya penyampaian, menyusun idea dengan lebih teratur serta menyampaikan mesej secara jelas dan meyakinkan.
Penganjuran bengkel ini merupakan antara pengisian Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 dalam usaha memperkasa kemahiran insaniah, komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan warga UNISSA.
Kemahiran tersebut penting dalam melahirkan generasi graduan yang berilmu, berkeyakinan dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negara selaras dengan aspirasi UNISSA untuk membentuk Khayra Ummah.