Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri hari ini mengumumkan pelantikan firma perunding antarabangsa dari Australia, SC Lennon & Associates, bagi menerajui pembangunan dan pelaksanaan piawaian Penarafan Bintang Hotel Kebangsaan.
Inisiatif tersebut merupakan satu langkah penting dalam mempertingkatkan standard sektor hospitaliti negara menerusi pengenalan sistem penarafan bintang yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Melalui pelaksanaan sistem berkenaan, hotel-hotel tempatan dijangka menjadi lebih berdaya saing serta menawarkan tahap keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang lebih tinggi, di samping mengekalkan nilai-nilai kebudayaan dan layanan mesra Brunei sebagai teras utama dalam piawaian tersebut.
Projek itu turut direka bentuk agar bersifat adil, telus dan inklusif kepada semua penyedia penginapan pelancong. Dengan sokongan teknologi digital moden, sistem baharu itu akan menyediakan proses penarafan yang lebih jelas dan telus, selain menawarkan sokongan berterusan daripada Jabatan Pembangunan Pelancongan bagi membantu pengusaha hotel mengekalkan penarafan masing-masing.
Jabatan berkenaan menjelaskan bahawa pelaksanaan penuh sistem tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi memberi ruang secukupnya kepada pengusaha hotel memahami kriteria baharu, mengikuti latihan yang disediakan serta menaik taraf kemudahan dan perkhidmatan sebelum penarafan rasmi diberikan.
Perbincangan rasmi mengenai pelaksanaan dan struktur kriteria penarafan dijadualkan bermula dalam masa terdekat dengan melibatkan pegawai kementerian serta wakil industri hospitaliti dan pelancongan.
Pengenalan piawaian Penarafan Bintang Hotel itu dijangka mewujudkan penanda aras kualiti yang jelas, sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong tempatan dan antarabangsa ketika memilih penginapan di negara ini.
Inisiatif berkenaan juga selaras dengan objektif Pelan Hala Tuju Industri Pelancongan Negara Brunei Darussalam 2024-2035, yang bertujuan memperkukuh imej Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.