Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Penyelarasan yang lebih mantap merupakan antara faktor utama yang akan menentukan sejauh mana dasar-dasar yang baik dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata bagi negara.
Perkara tersebut ditekankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Lau How Teck dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, dari perspektif pembangunan ekonomi, tiada lagi satu sektor pada masa kini yang mampu berkembang secara bersendirian.
Keselamatan makanan misalnya, bukan hanya tertumpu kepada sektor pertanian tetapi turut melibatkan penyelidikan, teknologi, pembiayaan, pembangunan, logistik, pemprosesan, pemasaran serta peluang eksport.
Begitu juga dalam pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) serta usaha menarik pelaburan, yang menurut Yang Berhormat, setiap satunya saling berkait dan memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.
Tambah Yang Berhormat, kekuatan penyelarasan bukan hanya menjadikan pelaksanaan lebih lancar tetapi juga memastikan setiap usaha yang dibuat dapat memberi nilai tambah kepada usaha yang lain.
Apabila setiap sektor bergerak dengan kefahaman yang sama terhadap keutamaan negara, jelas Yang Berhormat, kesannya akan menjadi lebih besar berbanding jika setiap pihak bergerak secara berasingan.
Dalam dunia perniagaan pula, Yang Berhormat berkata, keyakinan merupakan asas kepada setiap keputusan yang dibuat. Pelabur tidak membuat keputusan hanya berdasarkan satu insentif atau satu dasar sahaja tetapi turut melihat sama ada hala tuju pembangunan negara adalah jelas, keutamaan diterjemahkan secara konsisten dan semua pihak bergerak ke arah yang sama.
Yang Berhormat menambah, keadaan berkenaan akan menjadikan sektor swasta lebih berani membuat pelaburan jangka panjang, memperkenalkan teknologi baharu, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta membuka peluang pekerjaan.
Kata Yang Berhormat, inilah antara nilai yang dapat diwujudkan melalui penyelarasan yang lebih kukuh, bukan sahaja dalam memperbaiki pelaksanaan dalam kerajaan, malah turut memberi keyakinan kepada sektor swasta untuk bergerak bersama dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
Yang Berhormat turut berpendapat, penyelarasan yang baik bukan hanya membantu menyelesaikan isu yang sedang dihadapi, namun juga membolehkan negara mengenal pasti peluang-peluang baharu dengan lebih awal.
Yang Berhormat mengambil contoh sektor agromakanan, di mana peluang ekonomi tidak hanya terletak pada peningkatan pengeluaran. Bahkan, nilai yang lebih besar boleh diwujudkan melalui pemprosesan makanan, pembangunan produk bernilai tinggi, penggunaan teknologi moden, pensijilan halal, inovasi serta pembukaan pasaran baharu.
Menurut Yang Berhormat, jika semua elemen tersebut dilihat sebagai satu rantaian yang saling berkait, peluang ekonomi yang diwujudkan juga akan menjadi lebih luas.
Pendekatan berkenaan, kata Yang Berhormat, akan membantu mempercepatkan usaha mempelbagaikan ekonomi negara. Sementara itu, Yang Berhormat memberikan pandangan bahawa penyelarasan yang lebih kukuh akan membantu negara meningkatkan produktiviti.
Yang Berhormat berkata, apabila membincangkan produktiviti, tumpuan sering diberikan kepada pekerja atau syarikat, namun produktiviti turut dipengaruhi oleh cara institusi bekerjasama.
Apabila sesuatu isu memerlukan tindakan daripada beberapa pihak, penyelarasan yang baik akan dapat mengurangkan masa membuat keputusan, mempercepatkan pelaksanaan serta membolehkan sumber digunakan dengan lebih berkesan.
Menurut Yang Berhormat, peningkatan produktiviti melalui pendekatan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada kerajaan tetapi juga memberi kesan kepada dunia perniagaan, pelabur dan rakyat kerana keputusan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih cepat dan berkesan.
Yang Berhormat seterusnya berkata, kejayaan Wawasan Brunei 2035 tidak hanya bergantung kepada bilangan inisiatif yang dilaksanakan tetapi sejauh mana setiap inisiatif tersebut saling melengkapi dan menghasilkan nilai yang lebih besar kepada negara.
Yang Berhormat menegaskan, apabila penyelarasan dapat memperkukuhkan keyakinan, mempercepatkan pelaksanaan, membuka peluang ekonomi baharu serta memastikan semua pihak bergerak ke arah yang sama, manfaatnya bukan sahaja akan dirasai oleh sektor perniagaan, malah rakyat secara keseluruhannya.
Yang Berhormat menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan tersebut akan terus memperkukuhkan usaha negara dalam membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, berdaya saing serta mampu mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.