Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menganjurkan Pertandingan Menambang Syair Rakis bersempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16, bertempat di Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Dekan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, UNISSA, Profesor Madya Dr. Khatijah binti Othman.
Pertandingan berkenaan disertai oleh para pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Pusat Tingkatan Enam (PTE) dan sekolah menengah di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori 'A' bagi pelajar IPT, manakala Kategori 'B' pula bagi pelajar PTE serta sekolah menengah.
Bagi Kategori 'A', tempat pertama dimenangi oleh Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Haji Huzaimi dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), manakala tempat kedua disandang oleh Dayang Nurin Hayati binti Abdul Samad dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), sementara tempat ketiga diraih oleh Dayang Nurnazatul Aiman Zafirah binti Muhd. Hafizchin dari UNISSA.
Sementara itu bagi Kategori 'B' pula, tempat pertama dimenangi oleh Dayang Zainab Awwahah binti Haji Aji dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), manakala tempat kedua disandang oleh Awangku Muhammad Farish Adrian al-Qusyairi bin Pengiran Indra Jaya dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sementara Awangku Mohammad Iman Rifqi bin Pengiran Mohd. Rafiuddin dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan meraih tempat ketiga.
Dua hakim yang diundang bagi menilai persembahan para peserta ialah Dayang Hajah Rokiah binti Awang Ismail, guru bersara; dan Dr. Hajah Maiza binti Haji Aji, iaitu Pakar Penyelidikan Pendidikan.
Penganjuran pertandingan berkenaan bertujuan untuk memelihara dan memperkenalkan semula seni menambang syair kepada generasi muda, di samping memperkukuh penghargaan terhadap khazanah kesusasteraan dan kebudayaan Melayu NBD.
Pertandingan berkenaan juga menjadi wadah bagi para pelajar menyerlahkan bakat, meningkatkan keyakinan diri serta menghayati nilai bahasa dan pemikiran yang terkandung dalam karya Syair Rakis.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sesi bergambar ramai.