Memperkukuh pendidikan Al-Quran sekolah Arab

2 Og 2026 - 6:27am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Ihsan Jabatan Pengajian Islam

TEMBURONG, Sabtu, 1 Ogos. – Dalam usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak mulia, berjaya serta berpegang teguh kepada ajaran Islam melalui penghayatan Al-Quran, Sekolah Arab Temburong pada pagi tadi mengadakan Majlis Haflu Khatam Al-Quran Pelajar-pelajar Sanah 6, bertempat di dewan sekolah berkenaan.

Majlis berkenaan bagi meraikan seramai 11 pelajar Sanah 6 Sekolah Arab Temburong terdiri daripada lima pelajar lelaki dan enam pelajar perempuan yang telah berjaya menyempurnakan bacaan 30 Juzuk Al-Quran masing-masing.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Hazimin bin Haji Metali, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim, Doa Khatam, persembahan dikir serta penyampaian sijil khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan.

Majlis berkenaan turut menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam memperkukuh pendidikan Islam di samping mengeratkan silaturahim antara warga sekolah dengan para ibu bapa dan penjaga pelajar yang diraikan.

Majlis Haflu Khatam Al-Quran merupakan antara pengisian tahunan Jabatan Pengajian Islam, KHEU dalam memperkukuh pendidikan Al-Quran di sekolah-sekolah Arab.

Penganjurannya mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam membudayakan penghayatan Al-Quran serta memperkukuh syiar Islam di negara ini.